"Setiap kali saya berdoa soal jodoh, setiap kali itu saya pasti menangis" - Neelofa

Gempak
Julai 21, 2019 22:46 MYT
Neelofa pada sesi rakaman Naura Shares edisi haji baru-baru ini. - Foto Instagram
PELAKON, pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa, 30, mendedahkan dirinya pasti menangis setiap kali menitipkan doa berkenaan jodoh.
Pengacara MeleTOP ini berkongsi perkara terbabit di sesi rakaman Naura Shares edisi haji di MmCineplex, e@Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Ketika disoal oleh moderator, Lin Ariffin mengenai doa yang sering membuatkan dia menangis, Neelofa gagal menahan sebak dan matanya terus berkaca.
"Setiap kali saya berdoa soal jodoh, setiap kali itu saya pasti menangis. Sejujurnya, saya memang rasa sedih. Saya akan menangis setiap kali menitipkan doa mengenai perkara itu, tidak kira masa dan di mana-mana saja.
"Saya memohon Allah mengurniakan saya pasangan yang baik, bukan sahaja boleh membahagiakan saya, tetapi membahagiakan orang sekeliling saya. Termasuklah keluarga, pihak pengurusan, peminat, rakan media, malah semua orang," jawab Neelofa.
Ketika ditemui selepas usai rakaman program terbabit, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor ini sendiri tidak tahu sebab spesifik apa yang membuatkan dia berasa sedih ketika berdoa soal jodoh.
"Saya sendiri pun tak tahu mengapa doa terbabit sangat mengusik hati saya. Tetapi, sebab saya sering berdoa mengenai perkara itu adalah kerana saya mahu membuatkan semua orang senang dan bahagia.
"Bakal pasangan saya juga bakal menjadi perhatian semua pihak. Sehinggakan siapa pasangan saya juga bakal menjadi perhatian semua orang," katanya yang bakal berlepas menunaikan ibadah haji pada 4 Ogos ini.
Selain Neelofa, tetamu lain yang turut membuat perkongsian Naura Shares edisi haji ialah dua selebriti lain iaitu Atu Zero, Adam Corrie serta pasangan yang mencatat rekod berbasikal ke Makkah, Ahmad dan Adilah.
#Astro #Haji #Instagram #jodoh #keluarga #Naura Shares #Neelofa #Noor Neelofa Mohd Noor #Pengacara MeleTOP #perkahwinan #tunai haji #umrah #usahawan