Sex and the City bakal kembali di HBO Max. Aktres mana 'direhatkan'?

Agensi
Januari 12, 2021 00:00 MYT
Tiga daripada pemegang watak asal dalam siri berkenaan iaitu Sarah Jessical Parker, Cynthia Nixon dan Kristin Davis akan memainkan watak mereka dalam siri 10 episod itu. - Foto REUTERS
SUSULAN menayangkan episodnya yang terakhir pada 2004, siri ‘Sex and the City’ bakal kembali dengan jalan cerita baharu di HBO Max.
Tiga daripada pemegang watak asal dalam siri berkenaan iaitu Sarah Jessical Parker, Cynthia Nixon dan Kristin Davis akan memainkan watak mereka dalam siri 10 episod itu.
HBO Max berkata versi baharu siri itu berjudul ‘And Just Like That…’ dan pembikinannya akan bermula di New York pada ‘hujung musim bunga’.
“Siri itu akan mengikuti Carrie Bradshow (Parker), Charlotte York (Davis) dan Miranda Hobbes (Nixon) yang menjalani kehidupan dan persahabatan yang lagi rumit pada usia 50-an,” kata HBO Max dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Kim Cattrall yang memegang watak Samantha Jones dalam siri hit itu tidak akan kembali berlakon dalam drama tersebut.
Ia susulan Cattrall beberapa kali menolak untuk kembali berlakon dalam siri itu.
Sex and the City’ merupakan siri HBO yang terkenal dan ditayangkan dari 1998 hingga 2004 yang kemudiannya dijadikan dua filem.
Versi baharu ‘Sex and the City’ ini merupakan siri terbaharu buat HBO Max setelah perkhidmatan penstriman video yang berusia lapan bulan itu cuba pulih daripada permulaan yang perlahan.
Penerbit utama siri asli dan filem ‘Sex and the City’, Michael Patrick King akan kembali sebagai penerbit eksekutif.
Eksekutif untuk HBO Max juga membuat siri ‘Gossip Girl’ yang baharu selain memberikan komitmen untuk membikin sitkom reunion ‘Friends’.
#Sex and the City #HBO Max #Sarah Jessical Parker #Cynthia Nixon #Kristin Davis #And Just Like That #Carrie Bradshow #Charlotte York #Miranda Hobbes #Michael Patrick King #Gossip Girl #friends