KUMPULAN muzik Indonesia, Sheila On 7 tidak sabar mahu menghiburkan peminat di Malaysia bersempena dengan konsert mereka yang bakal berlangsung bermula jam 6 petang ini.

Konsert yang diadakan bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan dan penglibatan mereka dalam industri muzik ini bakal diadakan di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur.

"Hampir tiga tahun kami tidak ke Malaysia. Kami sudah tidak sabar mahu menghiburkan peminat di Malaysia.

"Kami akan bawakan seleksi lagu popular daripada album pertama sehingga album terbaharu," kata Adam selaku pemain bass Sheila On 7 kepada Astro Gempak.

Kali terakhir muncul dengan album yang berjudul Musim Yang Baik pada Disember 2014, Sheila On 7 mahu menggunakan kesempatan ini untuk mempromosikan album terbaharu mereka di Malaysia.

"Walaupun muncul pada tahun 2014, kami masih belum mempunyai kesempatan untuk mempromosikan album terbaharu kami di Malaysia.

"Jadi kami melihat peluang untuk mengadakan konsert di Malaysia sebagai salah satu medium kami untuk mempromosikan album Musim Yang Baik kepada penggemar Sheila On 7 di sini," katanya lagi.

Untuk peminat Sheila On 7, anda masih berpeluang untuk mendapatkan tiket untuk Konsert 20 Tahun Sheila On 7. Layari laman web www.ilassotickets.com. Tiket dijual pada harga RM75, RM110, RM150 dan RM190.