[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
HIBURAN

Sheila Majid umum konsert solo 8 Nov

Saharudin Musthafa 15/07/2025 | 08:19 MYT
Konsert Sheila Majid 40 Years In Music sebagai meraikan perjalanan seni 40 tahun penyanyi popular itu. - Gambar/ Altus Prohouse
KUALA LUMPUR: Penghibur ternama tanah air, Datuk Sheila Majid bakal meraikan ulang tahun ke-40 kerjaya seninya dengan mengadakan konsert solonya pada 8 November depan.


Ringkasan AI
  • Sheila Majid akan mengadakan konsert solo bertajuk Sheila Majid 40 Years In Music pada 8 November 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebagai meraikan empat dekad kerjaya seninya.
  • Konsert ini dianjurkan oleh Altus Prohouse dan TopGallant Show, dengan tema keraian penuh warna-warni serta menampilkan pasukan produksi tetap beliau seperti Mac Chew, Jennifer Thompson dan Steve Ho.
  • Ini merupakan kali pertama Sheila beraksi di Axiata Arena, melengkapkan senarai lokasi ikonik yang pernah menjadi pentas persembahannya sepanjang karier.


Konsert anjuran Altus Prohouse dan TopGallant Show itu akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Pementasan yang diberi nama Sheila Majid 40 Years In Music itu akan membawa tema keraian yang penuh warna-warni.

Persembahan solo itu, kata Sheila, akan menjadi rangkuman momen-momen manis perjalanan karier seni beliau selama empat dekad.

Sheila (empat, kiri) pada sidang media, di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI


Menurut Sheila, pementasan pertamanya di lokasi mega Axiata Arena merupakan saat yang dinantikan beliau selama ini.

Ini kerana, semenjak Axiata Arena wujud, kata Sheila, beliau pernah beraksi di lokasi yang sudah menampilkan ramai penyanyi tempatan dan antarabangsa.

Selama menghiburkan peminat setianya, Sheila sudah banyak mengadakan persembahan di lokasi popular seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Untuk meraikan kerjaya seni selama 40 tahun ini dan belum pernah beraksi di Axiata Arena, saya fikir ada baiknya saya rebut peluang ini dengan mengadakan konsert di lokasi ini,” kata Sheila pada sidang media, di sini, hari ini.

Konsert solo Sheila kali ini masih mengekalkan pasukan produksi yang setia mengiringi persembahan beliau selama ini seperti Mac Chew selaku Pengarah Muzik, Jennifer Thompson (Pengarah Konsert) dan Steve Ho (pereka pentas).





#sheila majid #konsert solo #perjalanan seni #tarikh konsert