PELAWAK Shuib Sepahtu mengakui tidak bersedia untuk bertemu dengan wanita yang dikatakan memiliki wajah mirip arwah isterinya Siti Sarah Raisuddin selepas pertemuan individu itu dengan keluarga mentuanya tular di laman sosial baru-baru ini.

Menurut Shuib, melihat gambar lama arwah isterinya sahaja masih lagi mencetuskan rasa sedih, apatah lagi bertemu dengan seorang lagi wanita yang mirip dengan insan yang paling dicintai dan dirindui.

“Video dan gambar itu saya tengok sekali sahaja, dan bukan mudah untuk sesiapa pun untuk melihat seseorang yang sama… tidak mudah. Sebab kita tidak boleh nak memaksa diri kita, menipu diri kita yang kita okey. Saya tak rasa begitu. Kita faham dalam dunia ni ada tujuh muka serupa, jadi kita tak boleh elak.

“Sama ceritanya dengan yang sama wajah dengan arwah Sarah. Saya tak salahkan dia atau salahkan sesiapa. Sampai sekarang pun untuk lihat gambar Sarah masih lagi berat, saya tengok mesti menangis. Saya tak nak menyeksa diri saya,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Shuib berkata, dia menghormati tindakan keluarga mentuanya untuk menjemput wanita berkenaan ke majlis hari jadi bapa mentuanya, Raisuddin Hamzah.

Kata Shuib, mereka mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikan rasa rindu yang tersendiri terhadap arwah Sarah.

“Saya faham, apa yang mereka buat itu adalah untuk memberikan rasa cerita pada diri mereka. Mungkin juga caraitu untuk mereka ekspresikan rasa rindu terhadap arwah. Bagaimanapun, saya ok sahaja, insya-Allah,” tutup Shuib.

Terdahulu, isteri Raisuddin, Siti Fatimah Saberi menjemput wanita yang dikatakan mirip wajah Sarah untuk memberikan kejutan sempena sambutan hari jadi suaminya.

Menurut Fatimah, suaminya memberitahu teringin untuk bertemu dengan wanita yang dikenali dengan nama Emy berkenaan setelah kisah kemiripan wajahnya dengan arwah Siti Sarah tular di media sosial sebelum itu.

Artikel asal ini diterbitkan di Astro GEMPAK