Siapa Jedi terakhir?

Linda Salim
Disember 12, 2017 07:56 MYT
Star Wars: The Last Jedi akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh dunia bermula 13 Disember
Siapa ‘Jedi’ terakhir?
Filem terbaru ‘Star Wars’ dijangka menjawab persoalan itu, apatah lagi tajuk filem itu sendiri pun berjudul ‘Star Wars: The Last Jedi’.
Naratif filem kelapan ini menyambung kisah dan jalan cerita ‘Star Wars: The Force Awaken’.
Dalam babak terakhir filem tersebut, watak Rey (Daisy Railey), gadis misteri yang ada upaya memanipulasi ‘Force’ akhirnya bertemu ‘Jedi’ utama dari trilogy asal, Luke Skywalker (Mark Hamill).
Babak di mana Rey bersemuka dengan Skywalker sambil menghulurkan pedang ‘light-saber’ meninggalkan impak yang cukup mendalam di hati peminat filem ‘Star Wars’. Para peminat pasti tidak melupakan babak itu yang hanya menggunakan muzik dramatik tanpa sebarang dialog.
Untuk melihat wajah-wajah pelakon yang penuh perwatakan, klik sini.
Menurut Presiden Lucasfilm, Kathleen Kennedy, selain pertemuan di antara Rey dan Skywalker, elemen paling mengejutkan dalam filem itu nanti adalah transfomasi karakter Rey.
Selain Railey dan Hamill, ‘Star Wars: The Last Jedi’ turut dibintangi John Boyega sebagai Finn, Adam Driver sebagai Kylo Ren, Andy Serkis sebagai Snoke, Oscar Isaac sebagai Poe Dameron dan juga mendiang Carrie Fisher yang kembali memegang watak ikonik Princess Leia.
Menurut Hamill dan juga pengarah filem Rian Johnson, ini merupakan antara persembahan terbaik Fisher, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 60 tahun tahun lalu.
Mereka turut berharap agar peminat ‘Star Wars’ berpuas hati dengan watak puteri kesayangan ramai itu.
Selain watak-watak utama, ‘droid’ seperti C-3PO, R2-D2, BB-8 dan juga kesatria ‘wookie’ Chewbacca akan kembali membuat kemunculan dalam filem terbaru ini.
‘Star Wars: The Last Jedi’ akan ditayangkan di pawagam di seluruh dunia bermula 13 Disember.
#Berita Star Wars #Daisy Railey #jedi #Luke Skywalker #pawagam Star Wars #Peminat Star Wars #rey #Siapa Jedi Terakhir #Star Wars #Star Wars The Last Jedi #Tonton filem Star Wars