DIKETAHUI mempunyai gangguan Obsesif Kompulsif (OCD), David Beckham ‘membuktikan’ masalah yang membelenggu dirinya itu menerusi episod terakhir dokumentarinya, BECKHAM.

Menerusi episod tersebut terdapat rakaman mantan pemain bola sepak legenda dunia itu masuk ke ruangan bilik khas untuk memeriksa pakaiannya.

Selain memperlihatkan busana yang tersusun rapi mengikut warna, saiz dan jenis pakaian, Beckham juga menyusunnya secara senget supaya dia boleh melihat dan mengambil pakaian yang berada di sebelah bawah tanpa mengalihkan pakaian paling atas.

Suami Victoria Beckham itu juga memberitahu dirinya mempersiapkan apa yang ingin digayakan untuk tempoh satu minggu.

“Ini adalah baki pakaian saya untuk minggu ini. Saya mempersiapkan pakaian untuk satu minggu dan ia dilakukan seminggu sebelumnya,” ujar Beckham kepada pengarah dokumentarinya, Fisher Stevens.

Beckham kemudian mengatakan akan berasa cemas jika membuka pintu almari dan melihat ada pakaian yang digantung tidak tersusun tegak kerana sedar ada orang yang telah mengusik barangan peribadinya.

"Saya menghidap gangguan obsesif kompulsif di mana saya harus menempatkan semuanya dalam satu garis lurus atau semuanya harus berpasangan," jelasnya. -Gempak