SIASATAN terhadap kemalangan membabitkan aktres Anne Heche pada 5 Ogos berakhir selepas disahkan pelakon itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan itu.

Nahas itu sebelum ini disiasat sebagai kemungkinan jenayah.

"Tiada lagi penyiasatan ke atas kes ini. Sebarang maklumat yang diperoleh akan tetap dikumpul dan direkodkan," kata Jabatan Polis Los Angeles dalam satu kenyataan.

Anne Heche diisytihar meninggal dunia secara rasmi seminggu selepas terlibat dalam nahas apabila kereta dipandunya merempuh sebuah bangunan kediaman.

Kediaman itu dimiliki oleh seorang individu, Jennifer Durand, tetapi telah disewakan kepada Lynne Mishele.

Mishele bernasib baik kerana berada di bahagian lain di rumah semasa kemalangan itu berlaku dan tidak mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, nahas itu menyebabkan rumah berkenaan tidak dapat didiami kerana ia menjejaskan struktur bangunan.

Heche, 53, sebelum ini berada dalam keadaan koma susulan nahas pada 5 Ogos lalu yang menyebabkan kecederaan otak yang serius.