HIBURAN

SINAR perkenal penyampai baharu untuk segmen pagi dan petang mulai 9 Febuari 2026

Kenyataan Media 06/02/2026 | 07:10 MYT
Langkah penyusunan semula itu diambil bagi memaskan SINAR terus relevan serta memberikan nafas dan pengalaman baharu kepada para pendengarnya.
KUALA LUMPUR: Stesen radio SINAR, yang sinonim dengan tagline “Muzik Retro Terbaik”, hari ini mengumumkan penyusunan semula barisan penyampai dengan memperkenalkan gandingan baharu bagi segmen pagi dan petang. Langkah ini diambil bagi memaskan SINAR terus relevan serta memberikan nafas dan pengalaman baharu kepada para pendengarnya.

Mulai 9 Februari 2026, dua segmen utama akan menampilkan wajah dan suara baharu seperti berikut:

Segmen Baharu

Gen Pagi SINAR

6.00 pagi – 10.00 pagi

Menampilkan gandingan tiga penyampai: Hefny, Roy Azman dan Sharifah Shahira. Trio ini dijangka membawa energi segar, humor spontan serta kandungan hiburan yang dekat dengan hati pendengar SINAR.

Brader Brader SINAR

4.00 petang – 8.00 malam

Diterajui oleh Falyq, Ray, dan Rahim, segmen ini menawarkan hiburan santai, interaksi mesra bersama pendengar, serta muzik retro terbaik sebagai teman perjalanan pulang.

Segmen Lain Kekal Seperti Biasa

SINAR Solo – Dina

10.00 pagi – 1.00 petang

RSVP SINAR – Sarah Kamilla

1.00 petang – 4.00 petang

Rehat dan Relax SINAR – Putra

8.00 malam – 12.00 tengah malam

Pengurus Jenama SINAR, Zureen Afendi, berkata: "Pengenalan barisan penyampai baharu ini, khususnya bagi segmen pagi dan petang, adalah sebahagian daripada usaha strategik SINAR untuk terus mengekalkan kedudukan kami sebagai stesen radio pilihan pendengar dewasa di Malaysia. Kami sentiasa menilai kehendak pasaran serta perubahan corak pendengaran, dan daripada situ kami melihat keperluan untuk memperbaharui tenaga di dua segmen paling tinggi tumpuan ini.

“Gandingan baharu ini bukan sekadar pertukaran penyampai, tetapi merupakan suntikan personaliti yang mampu memberikan dinamik yang lebih segar, relevan, dan dekat dengan jiwa pendengar. Kami memilih Hefny, Roy Azman dan Sharifah Shahira untuk segmen pagi kerana ketiga-tiganya memiliki daya tarikan tersendiri kefasihan berkomunikasi, humor semula jadi serta kebolehan menghidupkan suasana pagi dengan sangat positif.

“Begitu juga dengan barisan Brader Brader SINAR. Falyq, Ray dan Rahim mempunyai keserasian yang kuat serta gaya ‘borak santai’ yang sesuai untuk pendengar yang sedang dalam perjalanan pulang selepas seharian bekerja. Kami yakin gabungan ini mampu menjadi peneman setia yang menghiburkan tanpa mengabaikan identiti kami.

“Walau bagaimanapun, meskipun terdapat pembaharuan, DNA SINAR tetap kukuh. Kami masih berpegang kepada tagline ‘Muzik Retro Terbaik’, kerana itu adalah akar jenama kami dan sebab utama pendengar terus kembali kepada SINAR. Pembaharuan ini adalah usaha memastikan pengalaman mereka kekal relevan dan segar, tanpa kehilangan sentuhan nostalgia yang menjadi kekuatan SINAR sejak dulu.

“Akhir sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar yang terus menyokong SINAR. Kami percaya perubahan ini akan membawa SINAR ke tahap lebih baik, dan kami teruja untuk para pendengar merasai sendiri pengalaman baharu bermula 9 September 2026," katanya.

SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90-an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.

Dengan hampir empat juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.


SINAR – Muzik Retro Terbaik.

#Sinar #penyampai baharu #Gen Pagi SINAR #sharifah shahira