Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini meluangkan masa bersama dua daripada tiga orang kanak-kanak pesakit jantung yang menerima sumbangan dari penjualan SimplySiti, produk kosmetik jenama beliau di Legoland Nusajaya.

Kempen Simplysiti Di Hati 2012 berjaya mengutip sebanyak RM57,166 dari lima lokasi yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lalu adalah dengan kerjasama Yayasan Insititut Jantung Negara (IJN).

Siti yang hadir kelihatan ceria ketika meluangkan masa selama kira-kira satu jam bersama kanak-kanak tersebut dan sempat meluangkan masanya bermain beberapa permainan di taman tema berkenaan.

Beliau juga mengucapkan syukur kerana dapat membantu kanak-kanak ini menerusi kempen yang dijalankan oleh pihaknya tercapai dan berharap dapat membantu lebih ramai lagi masyarakat yang kurang bernasib baik.

Jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Jerat Percintaan itu, beliau percaya matlamat utama penghasilan produk SimplySiti selain untuk kegunaan masyarakat, syarikatnya itu juga mahu melakukan kerja-kerja kebajikan seperti ini.

“Dari segi kepuasan itu saya bersyukur kerana walaupun SimplySiti masih baru di pasaran iaitu kurang daripada 5 tahun tetapi kami mampu untuk bersama-sama membantu masyarakat. Selain kita menjual produk kita di pasaran, saya rasa perlu ada satu orang kata satu matlamat iaitu apa sahaja yang kita lakukan, tidak kiralah kalau saya menyanyi sekalipun saya ada perancangan untuk apa orang kata kerja-kerja kebajikan seperti ini.” ulas Siti.

Sementara itu, Pegawai Agihan Dana dan Projek Khas Yayasan IJN, Mohd Riza Sidek berkata, pihaknya berbesar hati dengan sumbangan yang diperolehi itu kerana ia mampu menampung sebahagian daripada jumlah RM80,000 kos pembedahan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.

Beliau juga berkata, selain dari sumbangan wang ringgit pesakit-pesakit ini memerlukan sokongan moral untuk menaikkan semangat mereka dan seterusnya dapat memupuk kesedaran masyarakat.

“Bantuan-bantuan yang kita perlukan sebenarnya ada banyak, ada pelbagai cara untuk membantu disamping wang ringgit dan juga kita pun ada juga menerima bantuan daripada pelajar-pelajar kolej yang menganjurkan program mereka tanpa dana yang besar untuk membantu tetapi mereka terus membantu dari aspek moral.” tambah Mohd Riza lagi.

Tambah Siti lagi, sumbangan kepada Yayasan IJN perlu diteruskan agar kanak-kanak yang kurang bernasib baik berpeluang untuk kembali menikmati kehidupan.

“Siti amat berbesar hati kerana berpeluang untuk berada di Legoland, sebuah taman tema yang menjadi impian kanak-kanak seluruh Malaysia. Kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini telah menyerlahkan sifat keberanian mereka beberapa bulan yang lalu dan mereka wajar diberikan peluang untuk menikmati keistimewaan berada di taman tema unik ini.

“Siti mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada para dermawan yang menghulurkan bantuan bagi mengumpul dana untuk mereka. Hari ini mereka telah pun kembali sihat. Siti berharap lebih banyak sumbangan akan diberikan kepada Yayasan IJN agar kanak-kanak lain yang menghidap penyakit jantung mendapat kembali peluang untuk menikmati hidup.” tambah Siti lagi.

Di majlis yang sama, Legoland Malaysia turut menyampaikan 1000 keping tiket percuma kepada Yayasan IJN.

Program ini merupakan program kerjasama yang kedua dijalankan melalui kempen SimplySiti dengan kerjasama Yayasan IJN.