[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
HIBURAN

Siti Nurhaliza raikan 30 tahun seni menerusi Konsert Legacy 30, tahun depan

Astro Awani 30/09/2025 | 12:00 MYT
Siti Nurhaliza memberitahu, Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni sepanjang 30 tahun. - Gambar Facebook Siti Nurhaliza
KUALA LUMPUR : Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal meraikan perjalanan seni selama tiga dekad dalam industri muzik menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza pada 10 Januari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Jelasnya, Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni sepanjang 30 tahun.

"Saya mahu peminat yang selama ini menyokong saya dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini, menyelami semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier," katanya dalam hantaran di Instagram, di sini pada Selasa.

Sementara itu, penganjur konsert, SN Legacy Sdn Bhd berkata, konsert itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatan penyanyi nombor satu negara itu dalam dunia seni yang bukan sahaja menzahirkan dedikasi, cinta dan keikhlasan beliau terhadap muzik, malah mengangkat warisan seni Malaysia ke persada antarabangsa.

Menurutnya, dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi terbaik bagi menghimpunkan peminat serta pencinta seni dari seluruh negara dan rantau Asia.

"Penganjuran di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecah rekod kehadiran 70,000 penonton pada Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya hasil perancangan teliti untuk memberi pengalaman konsert yang lebih selesa, epik dan penuh makna kepada semua peminat," ujarnya.

"Penganjuran konsert itu juga tepat pada waktunya apabila berlangsung seiring Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Momentum itu diharap dapat menarik kehadiran peminat Siti dari pelbagai negara untuk datang ke Malaysia, menikmati keindahan muzik, seni dan budaya tempatan, sekali gus menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia," ujarnya.

Bagi menghargai peminat dan pelanggan setia, Pra-Jualan Eksklusif AFFIN dibuka bermula Rabu, pukul 12 tengah hari hingga Jumaat pukul 12 tengah hari, khusus untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit AFFIN.

Jualan tiket kepada orang ramai pula bermula pada 3 Oktober 2025 jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com dengan harga ditawarkan dari RM69 sehingga RM1,599 mengikut kategori tempat duduk.

Konsert Legacy 30 bukan sahaja bakal menjadi persembahan bersejarah Siti Nurhaliza dalam dekad ini, malah manifestasi rasa syukur dan cinta beliau kepada peminat yang setia menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.




#Legacy 30 Siti Nurhaliza #Instagram #Destinasi pelancongan #sejarah karier