[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
ENTERTAINMENT

SRC rancang keluarkan 11 lagu Siti Nurhaliza yang belum dikomersialkan

Media Hiburan 12/04/2025 | 10:00 MYT
Suria Records (SRC) masih memiliki kira-kira 11 lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza (foto) yang belum pernah dilancarkan. -Gambar fail/Facebook Siti Nurhaliza
SYARIKAT rakaman Suria Records (SRC) mendedahkan pihaknya masih memiliki kira-kira 11 lagu nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang belum pernah dilancarkan.

Ringkasan AI
  • Suria Records (SRC) masih memiliki kira-kira 11 lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang belum pernah dilancarkan.
  • Lagu-lagu tersebut adalah lebihan daripada proses penerbitan album terdahulu dan hanya akan diterbitkan dengan persetujuan Siti.
  • Selain lagu Siti, SRC juga mempunyai koleksi lagu-lagu lama daripada penyanyi popular lain seperti Liza Hanim, Noraniza Idris, New Boyz, dan Sofaz.

Lagu-lagu tersebut telah dirakam ketika penyanyi tersohor itu masih bernaung di bawah label berkenaan, namun belum dikomersialkan sehingga kini.
Menurut Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan baki lagu-lagu berkenaan suatu hari nanti.
“Koleksi lagu Siti yang ada dalam simpanan SRC ketika dia masih bernaung dengan kami dulu kira-kira 11 lagu yang belum dikeluarkan lagi, tetapi sudah siap dirakam.
“Masa itu pun, vokal Siti masih muda,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Perlu Persetujuan Siti
Edwin menambah, barisan lagu tersebut adalah lebihan daripada proses penerbitan album terdahulu, dan antaranya termasuk ciptaan komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Bagaimanapun, segala keputusan untuk menerbitkan semula lagu-lagu berkenaan hanya akan dibuat dengan persetujuan Siti sendiri.
“Jadi, baki lagu yang ada ini sebenarnya lebihan yang disimpan ketika kami menerbitkan setiap album Siti.
“Memang kami hasilkan lebih dari 10 lagu dan semestinya ada lagu yang belum pernah dikeluarkan lagi.
“Malah, ada antara lagu disimpan itu hasil ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
“Tapi untuk terbitkan album, mestilah kami perlu minta kebenaran daripada Siti terlebih dulu sebelum buat apa-apa keputusan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Edwin amat menghormati Siti sebagai figura penting dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa, dan tidak mahu bertindak tanpa perbincangan bersama.
“Memang SRC ada berniat untuk keluarkan kesemua baki lagu itu dalam album, tapi saya fikir perlu ada satu persetujuan bersama kerana ia tetap lagu nyanyian Siti.
“Jadi, kami tak boleh buat keputusan sewenang-wenangnya,” katanya
Lagu Lama Dalam Simpanan
Selain lagu milik Siti Nurhaliza, SRC turut mempunyai koleksi lagu-lagu lama lain yang belum diterbitkan daripada beberapa penyanyi popular yang pernah bernaung di bawah syarikat tersebut seperti Liza Hanim, Noraniza Idris, New Boyz, dan Sofaz.
Sebagai informasi, Siti mula menyertai SRC selepas menjuarai Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 1995.
Sepanjang kerjasama bersama label tersebut, penyanyi lagu Jerat Percintaan itu telah menghasilkan 11 album studio.
Album terakhirnya di bawah SRC ialah Prasasti Seni yang diterbitkan pada tahun 2004, sebelum kontraknya tamat sepenuhnya pada tahun 2006. -Media Hiburan
#Siti Nurhaliza #SRC #koleksi lagu-lagu lama #belum pernah dilancarkan