Suami doa Saphira dikurnia husnul khatimah

Agensi
Januari 31, 2019 09:16 MYT
Pelakon Eiffel, I'm in Love dan Eiffel, I'm in Love 2, Saphira Indah meninggal dunia pada Rabu di Jakarta, Indonesia. - Gambar fail
SUAMI kepada pelakon Saphira Indah, Rico Hidros Daeng mengharapkan pemergian Allahyarham isterinya dikurniakan husnul khatimah.
Bagi Rico, Saphira merupakan seorang isteri yang solehah dan memiliki keperibadian yang luar biasa.
“Alhamdulillah. Dia rajin solat dan tahajud. Dia juga rajin mengaji. Dia bersama-sama saya melalui proses untuk menjadi insan yang baik hari demi hari. Dia sangat luar biasa,” katanya.
Rico berkata demikian ketika ditemui di rumah mayat, kawasan Tanjung Priok, Jakarta Utara, pada Khamis.
Saphira yang merupakan pelakon Eiffel, I'm in Love dan Eiffel, I'm in Love 2, meninggal dunia dalam keadaan dirinya hamil enam bulan pada Rabu di Jakarta, Indonesia.
Saphira, 32, dilaporkan media tempatan mengalami sesak nafas selama lima hari sebelum dibawa ke hospital.
Aktres itu bertambah kritikal pada hari kelima sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Rabu.
Tambah Rico, Allahyarham isterinya itu juga seorang insan yang rendah diri dan disenangi oleh ramai orang.
“Saya tidak menyangka dia akan pergi secepat ini. Orangnya baik, alim dan mengambil berat atas kebajikan orang lain.
“Mudah-mudahan dia pergi dalam keadaan husnul khatimah," ringkasnya.
#eiffel im in love #hamil #Indonesia #Jakarta #meninggal dunia #pelakon #saphira #saphira indah #sesak nafas