[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
ENTERTAINMENT

Suami enggan ceraikan Nora, mahu pertahan rumah tangga

Astro Awani 06/05/2025 | 04:40 MYT
Dr Rushdi (kiri) yang juga suami kepada penyanyi Nora mengakui, masih menyayangi isteri keduanya itu selain enggan melakukan perkara ditegah dalam Islam iaitu bercerai.
PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan 4 Jun depan sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin selepas suaminya, Dr Rushdi Ramli, enggan melafazkan cerai dalam prosiding pertama yang berlangsung hari ini.
Dr Rushdi, 59, enggan melafazkan talak kerana masih mahu mempertahankan rumah tangga dengan isteri keduanya itu.
Menurut Dr Rushdi, beliau masih menyayangi Nora, 52, selain enggan melakukan perkara ditegah dalam Islam iaitu bercerai.
"Pada hari ini, saya menyatakan di hadapan Yang Arif bahawa saya tolak permohonan perceraian yang dilakukan isteri terhadap saya.
"Saya tidak bersetuju kerana masih sayang perkahwinan ini dan mahu mempertahankannya.
"Dalam Islam juga haram untuk kita amalkan perceraian tanpa alasan muhasabah," katanya selepas sebutan pertama kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.
Dr Rushdi yang juga pensyarah kanan di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjelaskan keluarga isteri pertama sudah menerima Nora sebagai madu.
Bahkan, tegas Dr Rushdi, beliau akan terus berusaha menyelamatkan rumah tangga bersama penyanyi Renungan Terakhir itu.
"Berdasarkan pemerhatian saya yang ikhlas, saya nampak keluarga pertama sudah terima perkahwinan saya dengan Nora.
"Mereka tidak merungut apa-apa. Namun, mereka mengharapkan tidak ada perubahan yang berlaku terhadap hubungan kami sekeluarga.
"Pendirian saya adalah mahu mempertahankan perkahwinan ini. Kita faham perkahwinan adalah perkara baik.
"Saya harap Nora terus cinta dan sayang kepada saya. Tetapi, kalau dia tiada perasaan itu dan mahu ambil tindakan lanjut, saya tidak boleh buat apa-apa," jelas beliau lagi.
Sementara itu, peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali memberitahu, penolakan itu bermakna terdapat keperluan melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
"Dr. Rushdi menolak permohonan cerai hari ini tanpa menyatakan sebarang alasan. Jadi, mahkamah menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula dan pelantikan JKP," katanya ketika ditemui media.
Beliau turut menjelaskan, jika proses JKP tidak membuahkan hasil, pihaknya akan meneruskan dengan proses hakam selaras Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pada 21 April lalu, Nora hadir ke mahkamah bagi memfailkan permohonan cerai, selepas perkahwinan mereka didakwa gagal diselamatkan.
Untuk rekod, Nora mengesahkan telah bernikah dengan Dr. Rushdi pada hujung tahun 2021.
Sebelum itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer tersohor, Allahyarham Johan Nawawi, pada tahun 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Allahyarham meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.
#Nora Arifin #kes cerai Nora #Dr Rushdi Ramli #Mahkamah Rendah Syariah Petaling