PENYANYI Datuk Jamal Abdillah memberitahu isterinya iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin dinasihatkan oleh doktor agar tidak hamil lagi selepas ini.

Menurut Jamal, ia disebabkan isterinya sudah empat kali menjalani pembedahan untuk melahirkan semua zuriat mereka.

"Alhamdulillah, dah empat orang (anak) cukup lah. Doktor pun nasihatkan dan tak benarkan isteri saya hamil sebab semua anak kami lahir secara pembedahan.

“Apapun, syukur kesihatan bayi dalam kandungan isteri saya sekarang berada dalam keadaan baik," katanya.

Terdahulu, Jamal memaklumkan isterinya iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin akan melahirkan bayi mereka pada 14 April ini.

Menurut Jamal, isterinya akan melahirkan anak bongsu mereka secara pembedahan mengikut tarikh yang ditetapkan oleh doktor.

Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan mereka memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun.

Menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17. -Gempak