HIBURAN

Sudah 'sign' kontrak, kerjasama Syed Saddiq-ERA bagaimanapun tidak dapat diteruskan

Gempak 01/08/2025 | 10:51 MYT
Pihak Syed Saddiq menerima berita mengejutkan sehari sebelum pengumuman rasmi bahawa kerjasama bersama ERA FM tidak dapat diteruskan. - Gempak
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan hasratnya untuk menjadi penyampai radio di stesen radio ERA FM tidak kesampaian selepas kerjasama yang sudah dimeterai dibatalkan saat akhir.


Ringkasan AI
  • Kerjasama Syed Saddiq dan Era FM dibatalkan saat akhir, walaupun kontrak telah ditandatangani dan persiapan pengumuman telah dibuat, termasuk janji menyumbang gaji kepada biasiswa pelajar Muar.
  • ERA FM tetap melunaskan bayaran kontrak, dan Syed Saddiq akan menyalurkan 100% jumlah tersebut ke tabung biasiswa seperti dijanjikan, sambil menghargai kejujuran pihak ERA.
  • Syed Saddiq menerima tawaran lain bernilai RM1.06 juta pada hari sama, dan menyifatkan pembatalan itu sebagai rezeki yang membuka lebih banyak peluang, sambil kekal optimis terhadap perancangan Allah.


Perkara itu didedahkan sendiri oleh Syed Saddiq menerusi satu video di Instagram miliknya semalam.



Menurutnya, dia sudah pun menandatangani kontrak untuk menyertai pasukan segmen pagi 3 Pagi ERA dan menjalani sesi penggambaran serta rakaman sebagai penyampai baharu bersama Nabil, Pak Azad dan Radin.

“Era teruja, saya pun teruja. Runding dah, sign kontrak dah, photoshoot pun dah. Saya dah maklumkan gaji 100 peratus akan disumbangkan kepada biasiswa untuk 20 pelajar Muar dari keluarga susah.

“Mama dan Abuya pun dah plan nak datang untuk pengumuman, malah pelajar yang bakal terima biasiswa pun dah dimaklumkan,” katanya dalam video berdurasi hampir dua minit itu.

Namun, pihak Syed Saddiq menerima berita mengejutkan sehari sebelum pengumuman rasmi bahawa kerjasama bersama ERA FM tidak dapat diteruskan atas ‘sebab-sebab tertentu’.

Walaupun tidak mengulas lanjut mengenai punca sebenar pembatalan, Syed Saddiq berkata dia menghargai kejujuran pihak ERA dan enggan menyulitkan keadaan.

“Saya diberitahu plan ini perlu ditangguh. Tapi saya tetap hargai kejujuran Tim ERA. Mereka juga tetap mahu lunaskan bayaran kontrak yang telah ditandatangani, dan saya akan salurkan 100 peratus ke tabung biasiswa seperti dijanjikan,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun sedikit terkilan, rezeki datang dalam bentuk lain apabila menerima beberapa tawaran lain yang mencecah RM1.06 juta pada hari sama berita pembatalan diterima.

Trust Allah’s plan. Satu pintu rezeki tertutup, sepuluh lagi terbuka,” katanya.

Sementara itu, pihak ERA FM turut mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan kerjasama bersama Syed Saddiq tidak dapat diteruskan buat masa ini.

“Kami ingin mengesahkan bahawa kerjasama ERA-Syed Saddiq tidak dapat diteruskan buat masa ini. Kerjasama dimeterai atas semangat muafakat yang tinggi, positif dan persefahaman bersama.

“Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu yang tidak dapat dielakkan mendorong kepada perubahan terhadap dinamik ERA-Syed Saddiq,” kata ERA.

Sebelum ini, ERA memaklumkan akan menjalin kerjasama dan memiliki seorang lagi penyampai radio baharu bagi segmen 3 Pagi ERA bergandingan dengan Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin. -- Gempak




#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #kerjasama dengan ERA FM #terpaksa dibatalkan #Nabul Ahmad