TERKESAN dengan nasib yang menimpa mangsa keganasan rumah tangga iaitu Jahidah Nordin, penyanyi Sufian Suhaimi dan syarikatnya BabyPian melancarkan Tabung Kasih untuk wanita itu. 

Selain itu, sumbangan yang diberikan termasuklah untuk tabung pendidikan anak kepada mangsa iaitu Eshan Nufail yang kini berusia setahun.

“Kisah Puan Jahidah sangat dekat dan kami memang ikut rapat perkembangan kes itu. Alhamdulillah, bulan lalu saya dan berpeluang bertemu dengan dia dan keluarganya. 

"Melihat keadaan Puan Jahidah yang tidak bermaya depan mata… saya rasa sangat simpati. Jadi, secara tidak langsung memberi motivasi kepada saya untuk tampil dengan inisiatif ini. 

“Saya bersama pasukan BabyPian cuba melakukan apa yang kami mampu bagi membina kesedaran berkenaan isu keganasan rumah tangga.

“Selain memberi sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan, kami juga membantu dari segi perkembangan awal anaknya melalui tabung pendidikan," katanya kepada Gempak.

Sufian berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Kasih dan pelancaran produk Kasih Pillow di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya pada Selasa. 

Sementara itu, penyanyi lagu Di Matamu itu tidak menyangka apabila usaha berkenaan turut mendapat maklumbalas positif daripada pihak KPWKM.

Majlis berkenaan turut dihadiri dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPWKM, Aiman Athirah Sabu dan ahli keluarga mangsa.

Untuk rekod, Jahidah, 44, petugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Mei 2021 selepas dipercayai dicederakan suaminya.

Dia yang ketika itu hamil enam minggu mengalami kecederaan parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak, disyaki dipukul.

Jahidah yang terlantar koma, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada November 2021. 

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini. 

* Artikel asal disiarkan di Gempak.