HIBURAN

Sulalatus Salatin 2.0: Suatu pembacaan dalam kerangka kapitalisme budaya

Zahari Hamzah 01/12/2025 | 02:00 MYT
Walaupun Nabila Huda menampilkan tenaga dramatik yang kukuh, gambaran Puteri Gunung Ledang yang dipersembahkan terlalu hampir dengan versi Tiara.
PEMENTASAN Sulalatus Salatin 2.0 arahan Zafri Husin merupakan satu usaha Persatuan Bangsawan Bintang Timur dan CTRA Production di bawah penerbitan Siti Rohayah Attan, yang mengangkat kembali teks sejarah Melayu.

Dalam era industri hiburan yang semakin kompetitif, pementasan seperti ini bukan lagi sekadar usaha memartabatkan warisan budaya, tetapi turut berfungsi sebagai produk komersial yang perlu menarik minat khalayak, menjana keuntungan, dan bertahan dalam pasaran seni persembahan.

Melihat keadaan ini, teori Kapitalisme Budaya menawarkan kerangka yang paling sesuai untuk menilai bagaimana seni dan budaya dibentuk, digunakan, dan diedarkan dalam sistem ekonomi kapitalis.

Teori ini mengandaikan bahawa produk budaya termasuk teater, sastera, muzik, dan filem tidak terpisah daripada hubungan kuasa, kepentingan pasaran, serta tuntutan industri.

Wacana ini meneliti bagaimana Sulalatus Salatin 2.0 beroperasi dalam ketegangan antara aspirasi warisan budaya dan logik pasaran hiburan kontemporari.

Teori Kapitalisme Budaya berpaksikan gagasan bahawa budaya tidak berkembang secara bebas, tetapi sentiasa dihasilkan dalam rangka sistem ekonomi yang mementingkan keuntungan dan pengawalan selera pengguna.

Dalam sistem kapitalis, seni dinilai sebagai komoditi yang mempunyai kemampuan untuk dijual, dipasarkan, dan menghasilkan keuntungan.




Karya budaya perlu memenuhi ciri-ciri tertentu seperti hiburan, keterlihatan, dan kemudahan akses agar dapat bersaing dalam pasaran.

Sulalatus Salatin 2.0, dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, mempertemukan warisan klasik, teknologi pentas dan wacana moden tentang kuasa, gender, ekonomi budaya serta kesedaran bangsa.

Penelitian ini berasaskan kritikan kapitalisme budaya, yang terapkan untuk menilai estetika, strategi produksi, dan ketegangan ideologi pementasan.

Teks Sulalatus Salatin dalam bentuk asal adalah panjang, padat, dan penuh episod sejarah.

Namun dalam produksi Salalatus Salation 2.0, naratif telah dipadatkan, dipilih, dan diberi fokus kepada episod-episod yang lebih dramatik.

Ini mencerminkan prinsip standardisasi: cerita diolah supaya mudah difahami, cepat berkembang, dan mengekalkan ketegangan dramatik yang konsisten merupakan suatu yang tipikal produksi komersial.

Persembahan muzikal lebih mudah menarik penonton kerana gabungan muzik, tarian dan plot dramatik menawarkan hiburan yang bersifat sensori dan emosional.

Format ini menambah nilai komersial pementasan kerana menjanjikan “pengalaman menonton” yang lebih besar daripada teater dramatik biasa.

1. Pementasan sebagai ruang pergeseran ideologi

Sulalatus Salatin 2.0 menampilkan pertembungan dua aspirasi utama: teater sebagai medium pendidikan sosial dan teater sebagai produk hiburan komersial.

Pendekatan yang mempertemukan pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dengan pelakon profesional membuka peluang pendedahan langsung terhadap teks klasik, sambil memberikan pengalaman generasi muda berkongsi pentas bersama penggiat seni berpengalaman.

Secara tidak langsung pertemuan dua aspirasi utama ini dapat diperhatikan dalam pemilihan pelakon yang dikenali ramai dan berpengalaman seperti Nabila Huda, Adam Lee, Zaidi Omar dan Mubarak Majid, manakala pelakon yang mendapat didikan teater secara formal daripada Akademik Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) seperti Juhara Ayob, Ijat Ashari, Aris Kadir, Mardiana Alwi, Zera Hariz, dan Faez Malek serta dengan penampilan aktivis teater Kamarul AR, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, Rosdi Daud dan Rosli Rahman Adam merupakan strategi untuk menyeimbangkan nilai estetika dan daya tarik pasaran.

Populariti dan kewibawaan mereka berfungsi sebagai modal simbolik yang meningkatkan capaian penonton, memastikan jualan tiket dan publisiti pementasan, sambil tetap mengekalkan kredibiliti artistik.

Secara tidak langsung pelajar Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur dapat mempelajari disiplin latihan, etika kerja teater, serta memahami warisan budaya secara praktikal yang tidak boleh dijana dalam bilik darjah.

Hal ini menunjukkan bahawa meskipun kapitalisme budaya mendorong pementasan ke arah komersial, fungsi pendidikan tetap dapat diselitkan kerana generasi baharu sebenarnya mungkin tidak pernah membaca karya teks klasik tersebut.

Untuk memastikan karya lebih mudah diterima oleh penonton, bentuk seni sering disusun dalam format yang boleh dijangka: naratif lebih ringkas, konflik dramatik diperhebat, dan estetika bersifat spektakular.

Keaslian tradisi dan kelainan budaya sering diubah suai agar lebih “mesra pasaran.”



Konflik antara Sultan Mahmud Syah, para pembesar, dan tokoh legenda seperti Tun Jana Khatib mengajak penonton merenung legitimasi kuasa, hubungan agama, negara, serta etika kepemimpinan, diperkukuh dengan estetika melalui bahasa klasik, kostum tradisional, dan koreografi persembahan.

Dari perspektif pendidikan sosial, pementasan ini memperluas pemahaman penonton mengenai identiti watak, nilai, dan struktur politik tradisional melalui dramatik naratif kesultanan Melayu.

Salalatus Salation 2.0 turut menyorot peristiwa waadat Demang Lebar Daun lakon Zaidi Omar, peristiwa penting perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana yang membingkai konsep daulat bagi raja dan derhaka bagi rakyat.

Adegan wadat antara Demang Lebar Daun dan keturunan Raja menunjukkan bagaimana elemen budaya digunakan bukan sahaja untuk tujuan dramatik, tetapi juga sebagai simbol etika pemerintahan Melayu.

Dalam pementasan, teks wadat turut dipaparkan di skrin LED agar penonton dapat membacanya serentak. Ini merupakan satu bentuk pedagogi visual yang memanfaatkan teknologi demi meningkatkan kefahaman penonton.

Di sini, kita melihat bagaimana elemen warisan digunakan dalam bentuk yang “mesra pengguna” ini sejajar dengan prinsip kapitalisme budaya di mana kandungan dipermudah bagi memastikan penerimaan penonton.

Walaupun teori ini sering dikaitkan dengan komodifikasi dan kehilangan keaslian budaya, dalam konteks ini ia menunjukkan bagaimana warisan dapat dihidupkan semula dalam bentuk yang mudah diakses dan relevan kepada masyarakat semasa.

Keberanian Hang Nadim dalam menyarankan batang pisang dijadikan kubu pertahanan untuk menghadapi serangan todak, yang telah menewaskan ramai rakyat, turut diketengahkan.

Peristiwa ini memberi gambaran bahawasanya generasi muda yang diwakili oleh Hang Nadim dalam kisah Salalatus Salatin merupakan cerminan generasi muda hari ini yang berani menyuarakan pandangan dan idea mereka melalui pelbagai platform yang tersedia ada.

Pementasan masih merepresentasikan DNA Melayu melalui naratif, watak-watak sejarah, prinsip politik tradisional tetapi semuanya diterjemahkan dalam bentuk baharu yang lebih sesuai dengan selera penonton masa kini.

Babak salah satu figura wanita paling ikonik dalam sejarah dan sastra Melayu, Tun Teja Ratna Benggala dilakonkan oleh Zera Hariz turut dipilih untuk memperlihatkan puncak kejayaan serta kejatuhan Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Salalatus Salation 2.0 menampilkan format muzikal yang menonjolkan muzik dramatik, koreografi kontemporari, dan visual pentas berskala besar melalui LED cuba memenuhi ekspektasi hiburan.

Penglibatan pelakon dikenali ramai seperti Zaidi Omar, Nabila Huda, Adam Lee, Faez Malek dan Zera Hariz menambah daya tarikan komersial. Gabungan kedua aspirasi antara pendidikan sosial dan komoditi budaya menunjukkan Sulalatus Salatin 2.0 beroperasi dalam ruang dialektik teater Malaysia masa kini.

Dari segi lakonan, penguasaan psikologi watak dan subteks dialog masih perlu diperhalusi.

Pelakon berpengalaman seperti Juhara Ayob menguasai psychological realism, dengan menjelmakan watak Tun Fatimah dengan kesedaran moral dan emosi yang mendalam.

Psychological realism ialah pendekatan dalam teater, penulisan, atau filem yang menekankan penggambaran dunia batin watak secara autentik menyerlahkan lakonan Juhara Ayob dalam pementasan Sulalatus Salatin 2.0, yang tidak hanya memaparkan sisi luaran watak bangsawan tetapi turut menghidupkan lapisan emosinya yang sarat dengan duka, kehilangan dan keteguhan jiwa.

Penonton bukan sahaja melihat tindakan Tun Fatimah sebagai respons dramatik terhadap pengkhianatan dan tragedi, tetapi memahami dorongan psikologi yang menggerakkan gerenyut nafas daripada ketenangan yang ditahan, tatapan yang sarat makna, hingga suara yang terkawal tetapi mengandung trauma dan maruah yang terluka.

Melalui dialog yang dilafazkan penuh subteks serta gerak tubuh yang halus namun berkuasa, Juhara Ayob mengukuhkan prinsip psychological realism dengan mencipta Tun Fatimah sebagai figura yang berlapis dan manusiawi, menjadikan perjalanannya bukan sekadar kisah sejarah tetapi potret jiwa yang bergelut antara luka, kekuatan dan martabat diri.

Sebaliknya, pelakon muda seperti Adam Lee belum mencapai intensiti transformasi watak, menjadikan lakonannya keliihatan dangkal.

Walaupun skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim, Siti Roy Tan dan Ezee Klasik kaya dengan simbolisme, kekurangan pemahaman subteks di kalangan beberapa orang pelakon menjejaskan impak dramatik.

Dalam sebuah pementasan yang mengolah teks klasik, intertekstualiti tidak sahaja muncul melalui dialog atau naratif, tetapi turut dilihat dalam strategi mimikri visual iaitu peniruan kreatif yang menggabungkan elemen ikonografi sedia ada untuk menghasilkan makna baharu.

Watak Puteri Gunung Ledang menjadi contoh paling ketara bagaimana mimikri berfungsi sebagai wacana estetika dan kuasa dalam pentas kontemporari.

Keberadaan watak ini telah dipenuhi memori budaya: sakraliti, keanggunan mistik, dan feminiliti Melayu yang diwarisi melalui hikayat, bangsawan, filem, dan terutamanya adaptasi teater muzikal.

Dalam Muzikal Puteri Gunung Ledang, Tiara Jacquelina mengolah ikonografi ini dengan mengekalkan bentuk visual tradisional, lenggok tari klasik, busana berinspirasikan kejawaan, serta sikap tenang yang berciri mistikal namun disusun semula dalam kerangka teater muzikal yang lebih ekspresif dan berorientasikan psikologi watak.

Yang ditiru ialah konvensi visual legenda; yang diubah ialah makna dan intensiti emosi.

Melalui penekanan terhadap konflik dalaman, keperibadian watak, dan keberanian menolak dominasi lelaki, Tiara bukan sekadar mengulangi mitos, tetapi mencipta penjelmaan semula. Inilah sifat mimikri visual dalam konteks teater: peniruan berfungsi sebagai strategi pembebasan, manakala pemeliharaan tradisi menjadi landasan transformasi makna.

Sebaliknya, dalam Sulalatus Salatin 2.0, fenomena mimikri visual bergerak secara terbalik.

Walaupun Nabila Huda menampilkan tenaga dramatik yang kukuh, gambaran Puteri Gunung Ledang yang dipersembahkan terlalu hampir dengan versi Tiara.

Daripada gaya rambut hingga siluet busana, pertindihan visual ini menunjukkan kecenderungan untuk mengambil bentuk ikonografi yang telah mapan tanpa penterjemahan estetik baharu.

Kebergantungan terhadap versi terdahulu menimbulkan persoalan tentang keberanian produksi untuk menawarkan interpretasi visual yang lebih segar atau kritikal, sekali gus menunjukkan bagaimana mimikri boleh menjadi perangkap estetika apabila hanya meniru tanpa mengolah semula makna.

Dalam hal ini, pementasan Salalatus Salation 2.0 masih terperangkap antara bentuk penghormatan dan pengulangan. Watak Puteri Gunung Ledang versi Nabila Huda memperlihatkan usaha meniru citra lama untuk mengekalkan legitimasi budaya tanpa menawarkan tafsiran baharu.

2. Kapitalisme dan industri budaya

Dalam perspektif Marxis, Sulalatus Salatin 2.0 bergerak antara idealisme budaya dan logik pasaran.

Seperti yang dicatatkan Adorno dan Horkheimer (1944), industri budaya mengubah seni menjadi komoditi berasaskan tarikan pasaran, berisiko menjejaskan fungsi kritikal.

Antara elemen paling menonjol ialah penggunaan skrin LED besar, grafik animasi, pencahayaan moden, dan susunan bunyi yang bersifat sinematik.

Teknologi ini berfungsi untuk memodenkan persembahan, menjadikannya setanding dengan produksi hiburan arus perdana dan sekali gus menarik penonton yang lebih muda atau yang kurang familiar dengan teks klasik.

Teknologi moden ini juga memenuhi prinsip kapitalisme budaya: mencipta pengalaman menonton yang spektakular, berkesan, dan sesuai dengan selera pengguna yang terbiasa dengan visual ala filem dan konsert.

Pementasan Salalatus Salatin 2.0 memperlihatkan ciri-ciri produk seni yang digerakkan oleh logik industri budaya.

Beberapa aspek pementasan menunjukkan bagaimana pemilihan pelakon dan keputusan artistik dibuat bukan sahaja berdasarkan nilai estetika, tetapi juga pertimbangan pemasaran.

Namun, usaha menggabungkan pelakon profesional dan pelajar menunjukkan dialektik: logik pasaran dijadikan mekanisme untuk mencapai audiens luas, sementara idealisme pendidikan dan pembelajaran kreatif tetap dipelihara.

Kesimpulan

Melalui lensa teori Kapitalisme Budaya, pementasan Sulalatus Salatin 2.0 dapat difahami sebagai produk seni yang beroperasi dalam ekologi industri hiburan masa kini yang mempertemukan sebuah ruang di mana tradisi, pasaran, dan kuasa representasi saling bertembung.

Pementasan ini menunjukkan bahawa seni warisan tidak lagi boleh berdiri secara terasing daripada kehendak penonton, strategi komersial, serta logik pasaran yang menuntut visual spektakular, nama besar dan nilai jual yang tinggi.

Namun dalam masa yang sama, produksi ini turut membuktikan bahawa unsur komersial tidak semestinya menghapuskan nilai budaya; sebaliknya, ia menjadi medium baharu yang memungkinkan warisan terus hidup, berkembang dan dibicarakan dalam masyarakat kontemporari.

Dalam kerangka ini, kapitalisme budaya bukan hanya dilihat sebagai ancaman kepada keaslian seni tradisi, tetapi juga sebagai ruang rundingan yang membuka peluang untuk tradisi bertahan melalui adaptasi bentuk, estetika dan strategi persembahan.

Sulalatus Salatin 2.0 berfungsi sebagai contoh signifikan bagaimana teks sejarah Melayu dapat direka bentuk semula dalam format muzikal bangsawan pascamoden tanpa kehilangan asas nilai, makna dan kedudukan simboliknya.

Pementasan ini memperlihatkan bahawa walaupun seni bergerak dalam logik pasaran, ia tetap berupaya mengekalkan fungsi epistemologinya sebagai wahana pengetahuan, pembentukan identiti, kritikan sosial dan pembinaan jati diri bangsa.

Percubaan berani CTRA Production dan Persatuan Bangsawan Bintang Timur untuk memartabatkan teks klasik melalui estetika moden membuktikan komitmen mereka terhadap agenda pemuliharaan budaya yang seiring dengan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Kolaborasi strategik bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur memperlihatkan bahawa kerjasama antara institusi, penggiat seni profesional dan generasi muda mampu menghasilkan pementasan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut merangsang kesedaran budaya serta mencipta wacana kritis yang relevan dengan masyarakat hari ini.

Dengan demikian, Sulalatus Salatin 2.0 menegaskan bahawa seni warisan, apabila digarap dalam kerangka kapitalisme budaya secara bijaksana, tetap berpotensi menjadi wadah pemartabatan bangsa dan ruang dialog antara tradisi serta dunia moden.

Nota Kaki Rujukkan:

* Adorno, T., & Horkheimer, M. (1944/2002). Dialectic of Enlightenment. Stanford University Press.

* Horkheimer, M., & Adorno, T. (1972). The Culture Industry: Enlightenment as Mass Deception.

* Jameson, F. (1991). Postmodernism, or, The Cultural Logic of Late Capitalism. Duke University Press.

* Mohd Anis Md Nor (1996). Pentas Tradisional Melayu. DBP.



* Zahari Hamzah merupakan pengkritik dan pemerhati teater Malaysia yang aktif menulis tentang seni persembahan kontemporari, tubuh dan bahasa dalam konteks budaya Melayu moden.

Beliau pernah menulis dan mengarah beberapa muzikal serta dramatari di Dewan Filharmonik PETRONAS, antaranya Muzikal Pap Pandir, Demang Lebar Daun, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman dan Puteri Intan Baiduri selain terlibat sebagai pelakon dan tenaga produksi teater tradisional Mak Yong dan Mek Mulung.

Beliau merupakan graduan Sarjana Pengajian Seni dari UPSI.




#sulalatus salatin #Kapitalisme Budaya #teater #pergeseran ideologi #Nabila Huda #Siti Rohayah Attan