Perhimpunan “Switch Off 2014” yang telah diadakan baru baru ini tidak mendapatkan sokongan oleh beberapa persatuan perfileman utama dalam negara. Antara mereka ialah Persatuan Penerbit Filem (PFM), yang mewakili lebih 60 penerbit filem dan 136 penerbit televisyen, Persatuan Profesional Filem (PROFIMA) yang mewakili 11,000 pekerja filem dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang mewakili 5,000 artis dan penggiat filem yang lain.

Penarikan sokongan dari ketiga-tiga pihak ini yang merupakan persatuan yang terbesar yang mewakili industri filem dan television, menunjukkan bahawa tuntutan dari penganjur bahawa “Switch Off” merupakan kebersatuan penggiat filem adalah tidak benar.

“Saya menyatakan saya tidak faham objektif perhimpunan ini kerana cara yang di gunakan oleh mereka, iaitu perhimpunan, ugutan dan tuntutan, tidak akan menuju ke arah penyelesaian masalah industri,” kata Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez.

“Jika mereka tidak ada kerja, atau bayaran dari stesen televisyen terlalu rendah, mereka harus mencerminkan diri dahulu dan lihat di mana kesilapan mereka sendiri,” tambah beliau.

“Ramai orang, termasuk ahli parlimen, sentiasa pertikaikan kualiti rancangan televisyen tempatan dan minta supaya kerajaan mengambil langkah untuk pertingkatkan mutu drama dan siaran televisyen tanahair. Tetapi hingga sekarang tidak nampak perubahan yang ketara dalam senario industri televisyen tempatan,” kata beliau.

“Dari mengadakan perhimpunan yang buat “demand” yang tidak masuk akal, mereka harus mengadakan perbincangan dengan stesen televisyen dari hati ke hati untuk mengenalpasti langkah yang harus di ambil untuk memajukan industri dan menarik perhatian penonton untuk menaikkan “ratings” rancangan terbitan mereka,” kata beliau.

“Selain itu kenyataan Presiden Seniman bahawa artis akan sedar tentang nilai perhimpunan seperti ini hanya selepas mereka jatuh merupakan satu ugutan kepada artis muda yang tidak patut dilakukan.

Jelas bahawa kenyataan ini dibuat hanya untuk menutupi kelemahan beliau sendiri dan kegagalan persatuan yang di terajui beliau mendapat sokongan dari artis muda dan popular,” kata Freddie.

“Switch Off” bukan cara untuk mendapat sokongan dari stesyen televisyen. Untuk mendapat kerja dari mereka yang pertama, kita harus ada produk yang baik yang boleh dapat rating yang tinggi dan akan menarik pengiklan dan menambah keuntungan stesen tersebut. Yang kedua kita harus mengadakan "track record” yang baik yang akan menyakinkan stesyen bahawa kita merupakan syarikat terbitan yang bertanggungjawab dan profesional.

“Kalau mereka boleh buat demikian saya rasa mereka akan terus dapat sokongan dari stesen” tambah beliau.

“Tentang bayaran yang rendah yang tidak berubah selama 20 tahun, mereka harus sedar bahawa kos pun, khususnya untuk peralatan filem sudah banyak turun. Satu kamera Beta dulu melebihi RM150,000 tetapi sekarang kamera HD yang sesuai untuk penyiaran dalam lingkungan RM 20,000 sahaja. Alat alat suntingan filem sekarang pakai komputer yang kosnya masih turun dari tahun ketahun.”

“Keuntungan stesen pun tidak naik tetapi kos penyiaran sudah naik juga. Dan dalam PFM ada 136 penerbit televisyen yang masih aktif yang tidak ada masalah dan tidak setuju dengan “Switch Off”. Ini menunjukkan dengan kadar bayaran yang sedia ada, syarikat-syarikat yang masih aktif dan mendapat kerja penerbitan boleh lagi membuat untung,” tambah beliau.

“Kesimpulannya ialah “Switch Off” merupakan usaha dari orang kecewa yang tidak dapat sokongan stesen lagi dan menggunakan taktik “desperado” untuk mendapat perhatian dan mengunakan ugutan untuk mendapat peluang kerja dari stesen. Sudah pasti mereka akan gagal,” kata Freddie.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Datuk Freddie Fernandez merupakan Presiden Karyawan.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.