Syahid kini 'bintang di syurga' - Bazli UNIC

Madiha Abdullah
Jun 7, 2017 02:14 MYT
Bazli melalui satu kemas kini status di akaun Instagram, mengesahkan pemergian anaknya itu, pagi tadi.FOTO/Instagram Bazli UNIC
MEREKA yang mengikuti program Gema Gegar Vaganza (GGV) yang melabuhkan tirai tiga minggu lalu mungkin masih mengingati ucapan kemenangan salah seorang anggota UNIC, Bazli, sebaik diumumkan juara.
"Syahid, ayah menang!"
Tidak sukar untuk diteka ucapan ringkas namun penuh emosi itu diucapkan Bazli untuk anaknya Muhammad Syahid, yang bertarung penyakit kanser limfoma.
Dan hari ini 12 Ramadan, sudah tertulis, perjuangan Syahid, 4 tahun, sampai ke penghujungnya apabila menghembuskan nafas terakhir.
Bazli melalui satu kemas kini status di akaun Instagram, mengesahkan pemergian anaknya itu, kira-kira jam 7.20 pagi tadi.
Berita sedih itu turut dikongsi ke laman sosial oleh rakan-rakan artis termasuk personaliti Indonesia yang juga juri tetap program GGV, Oki Setiana Dewi.
Dalam satu status terbaharu yang dimuat naik Bazli ke Instagram, dia berkongsi video bacaan ayat suci al-Quran bersama anaknya itu, dengan kapsyen yang menyentuh hati ribuan pengikutnya.
"Ayah akan rindu nak baca al-Quran dengan Syahid," tulis Bazli.
Perjuangan Syahid melawan penyakitnya diikuti dari dekat oleh pengikut media sosial menerusi akaun Instagramnya, syahid_bintangsyurga, yang mempunyai 31,000 pengikut.
Syahid merupakan anak sulung Bazli hasil perkahwinan dengan Asiah Abu Bakar. Pasangan itu juga memiliki seorang lagi anak lelaki, Muhammad Assfan yang berusia sembilan bulan.
Jenazah Syahid akan disemadikan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, selepas Zohor.
#Bazli #Gema Gegar Vaganza #Muhammad Syahid