Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
HIBURAN

'Taman Keabadian' sarat jiwa dan harapan, hadiah Aishah buat peminat

Media Hiburan 17/08/2025 | 11:00 MYT
Aishah kembali dengan lagu baharu berjudul Taman Keabadian, ciptaan Senna, yang menyentuh tema kehilangan, kerinduan dan harapan untuk bertemu semula di alam abadi. -Media Hiburan
NAMA Datuk Aishah sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.


Ringkasan AI
  • Datuk Aishah kembali dengan lagu baharu berjudul Taman Keabadian, ciptaan Senna, yang menyentuh tema kehilangan, kerinduan dan harapan untuk bertemu semula di alam abadi.
  • Lagu ini ditulis khas untuk Aishah kerana hanya beliau diyakini mampu menyampaikan emosi dan spiritual lagu tersebut dengan sempurna.
  • Aishah berharap lagu ini dapat menjadi pengubat jiwa dan sumber kekuatan kepada mereka yang sedang melalui fasa kehilangan insan tersayang.


Selepas hampir empat dekad mewarnai dunia seni suara Malaysia dan antarabangsa, penyanyi legenda yang terkenal dengan lagu-lagu balada malar segar kini kembali dengan buah tangan terbaharu, Taman Keabadian.

Ia adalah sebuah karya yang penuh penghayatan, sarat emosi dan menyentuh perasaan, hasil ciptaan komposer berbakat besar, Senna.

Lagu ini bukan sekadar hadiah buat peminat setianya, malah menjadi simbol keutuhan Datuk Aishah dalam dunia seni sebagai antara artis yang terus relevan, terus berkarya dan terus menyentuh hati generasi demi generasi.

“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati.

“Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” katanya.



Lagu Tentang Kehilangan, Kerinduan & Harapan

Taman Keabadian membawa tema yang cukup mendalam iaitu perpisahan dengan insan-insan tersayang, sama ada ibu bapa, ahli keluarga, sahabat, mahu pun rakan seperjuangan yang telah pergi menghadap Ilahi.

Bait-bait lirik lagu ini penuh rasa kerinduan yang mendalam, namun tetap disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku… di Taman Keabadian.

Menurut komposer Senna, proses penciptaan lagu ini sangat istimewa dan penuh makna secara peribadi.

Senna mengakui, lagu ini ditulis khusus untuk Aishah kerana percaya hanya suara dan jiwa beliau mampu menyampaikan roh lagu ini dengan sempurna.

“Lagu ini begitu peribadi buat saya. Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh penghayatan dan spiritual.

“Saya yakin hanya Datuk Aishah sahaja yang dapat membawa roh lagu ini dengan begitu mendalam. Beliau menyanyi bukan hanya dengan suara, tetapi dengan seluruh jiwa,” katanya.

Aishah dalam pada itu turut menitipkan harapan buat semua peminat dan pencinta muzik tanah air agar lagu ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kekuatan serta ketenangan kepada mereka yang sedang melalui fasa kehilangan.

“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi.

“Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat. Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” katanya lagi.


Legenda Seni Suara, Ikon Malaysia

Sebagai informasi, Datuk Aishah, atau nama sebenarnya Wan Aishah binti Wan Ariffin, memulakan kerjaya muziknya di peringkat antarabangsa sebagai vokalis utama kumpulan Aishah & The Fan Club yang berpangkalan di New Zealand pada era 1980-an.

Lagu-lagu seperti Don’t Let Me Fall Alone dan album Sensation bukan sahaja mencetuskan fenomena antarabangsa, malah menjadikan beliau artis Malaysia pertama yang berjaya menembusi pasaran muzik global serta menduduki carta Billboard!

Suatu pencapaian luar biasa yang kekal dikenang dalam sejarah muzik tanah air. -Media Hiburan







#Aishah #Taman Keabadian #Senna #lagu baharu