HIBURAN

“Tentulah saya trauma, tak mahu berada dalam keadaan itu lagi” - Ernie Zakri

Gempak 17/06/2025 | 07:30 MYT
Pada konsert solo pertamanya itu, Ernie dilapor turut mengalami jangkitan Laringitis, iaitu masalah keradangan pita suara. - Gempak
PENYANYI Ernie Zakri mengakui dia trauma untuk mementaskan konsert selepas diuji masalah kesihatan pada persembahan solo pertamanya, Aura Ernie Zakri Live In Concert, Januari lalu.


Ringkasan AI
  • Ernie Zakri mengakui trauma selepas konsert solo pertamanya akibat masalah kesihatan (laringitis), namun kini sudah pulih dan lebih bersedia menghadapi Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025.
  • Beliau menekankan kepentingan rehat dan persiapan menyeluruh, bukan hanya untuk dirinya tetapi seluruh pasukan, bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
  • Ernie terharu dapat berkongsi pentas bersama Ziana Zain, Anuar Zain dan suaminya Syamel, menyifatkan peluang itu sebagai impian yang menjadi kenyataan dan satu penghormatan besar dalam kerjayanya.


Belajar dari pengalaman

Menghitung hari menjayakan Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 pada 18 Oktober depan, Ernie bagaimanapun sudah belajar dari pengalaman lalu.

"Bercakap mengenai trauma, tentulah saya trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini. Kalau boleh, saya tidak mahu berada dalam keadaan itu lagi, bukan keadaan ketika sakit.

“Saya reda dengan ujian kesakitan itu, namun, bagaimana otak saya berfungsi detik itu. Jadi, kalau boleh, saya tidak mahu melaluinya lagi.

"Banyak yang saya belajar dari pengalaman. Saya harus tambah baik, bukan pada pihak saya, sebaliknya, seluruh pasukan.

“Apa yang paling penting adalah pastikan rehat secukupnya sebelum konsert," kata Ernie kepada Gempak.

Kesihatan dah pulih

Pada konsert solo pertamanya itu, Ernie dilapor turut mengalami jangkitan Laringitis, iaitu masalah keradangan pita suara.

Ernie yang popular dengan lagu Ku Bersuara meluahkan rasa syukur apabila kesihatannya sudah pulih sepenuhnya.

"Buat masa ini, suara saya okay... Alhamdulillah. Kejadian itu terjadi kerana kurang rehat. Apa yang saya belajar, setiap kali sebelum konsert kena dapatkan rehat yang cukup," katanya.

Sementara itu, Ernie mengakui sebak apabila mendapat peluang berkolaborasi dengan dua penyanyi legenda, iaitu Ziana Zain dan Anuar Zain termasuk suaminya, Syamel pada Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025.

"Saya membesar melihat dua figura itu membuat persembahan. Apabila melihat kejayaan Ziana dan Anuar, ia memberi inspirasi kepada saya untuk jadi seperti mereka," katanya.

Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 akan dipentaskan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan.

Konsert itu dibawakan Anuar Zain Network dan Altus ProHouse. -- Gempak





#Ernie Zakri #trauma #konsert #Ziana Zain