Pengarah filem Nik Amir Mustapha berkata filem terbarunya 'Terbaik Dari Langit', terbitan Astro Shaw, merupakan sebuah filem yang mencabar stigma masyarakat mengenai filem-filem tempatan.

Beliau berkata industri filem tempatan semakin merosot dan ramai penggiat filem di negara ini cuba untuk menghasil filem yang bagus dan berkualiti untuk tatapan rakyat Malaysia.

"Banyak cabaran untuk menghasilkan sebuah filem yang kita rasa berkualiti. Antaranya cabaran dari luar, dan cabaran stigma masyarakat Malaysia yang merasakan filem tempatan tidak menarik," kata Nik ketika ditemui.

Bagi Nik, selepas menghasilkan filem pertama beliau iaitu KIL, beliau mengimpikan untuk melahirkan sebuah filem yang lebih dekat dengan jiwanya.

“Dalam usaha saya merealisasikan filem 'Terbaik Dari Langit', saya menyingkap kembali semangat setia kawan yang saya rasai ketika saya membesar di sebuah sekolah berasrama penuh dan bagaimana semangat ini telah tersemat di dalam diri saya.

“Saya selitkan kegelisahan yang saya alami dalam menghadapi tekanan masyarakat sekeliling. Saya suapkan lapar dan dahaga saya untuk terus menyumbang di dalam industri perfileman negara,” tambah Nik Amir ketika ditemu ramah bersama Astro AWANI semalam di Majlis Tayangan Perdana 'Terbaik Dari Langit' di Cineleisure, e@Curve Damansara, Petaling Jaya.

Terbaik Dari Langit
(Terbaik Dari Langit merupakan sebuah filem mengenai Berg (Bront Palarae), seorang pembikin filem menemukan semula rakan-rakan yang telah terpisah selama 15 tahun selepas SPM untuk membikin karya filemnya yang melibatkan pencarian UFO)


Megat Shahrizal, Terbaik Dari Langit
(Fakta menarik mengenai Terbaik Dari Langit : Megat Sharizal telah menambahkan berat badannya sebanyak 10kg demi menjayakan watak Ali)
Nik Amir berkata kelainan filem ini daripada filem KIL ini adalah dari segi skalanya.

“Kelainan filem ini mungkin dari segi skala. Bagi saya, skalanya mungkin besar daripada KIL, kerana terdapat ramai watak. Pun begitu, pelakon-pelakon filem ini sangat komited dan memberi 110 peratus ketika bekerja jadi saya sangat berbesar hati bekerja dengan mereka yang mempunyai bakat besar di tanah air ini,” kata Nik.

Bagi Bront Palarae, pelakon utama 'Terbaik Dari Langit' yang memainkan watak Berg, berkata beliau tidak pernah menonton filem tempatan seperti ini.

“Filem ini sangat menyeronokkan di mana disebalik elemen-elemen science fiction yang kita tak pernah explore sebelum ini, filem ini juga terdapat unsur nilai-nilai murni negara kita seperti nilai persahabatan.

“Selain itu, skrip filem ini yang dihasilkan daripada Redza Minhat merupakan antara skrip yang terbaik yang pernah saya baca sepanjang saya pernah berlakon,” tambah Bront.

Selain Bront, filem yang turut mendapat kerjasama Playground Production ini menggabungkan barisan pelakon mantap dan disenangi di Malaysia seperti Iedil Putra, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa, Megat Sharizal, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 25 Disember nanti.

Sebelum ini 'Terbaik Dari Langit' memulakan langkah pertamanya di pentas antarabangsa apabila berjaya disenaraikan untuk bertanding dalam kategori Asian Future di Festival Filem Antarabangsa Tokyo baru-baru ini sekaligus mendapat tayangan perdana di festival berprestij itu.

Sinopsis Terbaik Dari Langit

'Terbaik Dari Langit' ialah sebuah filem mengenai Berg (Bront Palarae) yang merupakan seorang pembikin filem. Berg menemukan semula rakan-rakan sekolah yang telah terpisah selama 15 tahun untuk membikin sebuah filem pendek yang melibatkan sebuah UFO. Berg yakin dia akan dapat mencari UFO yang telah dilihatnya ketika dia dan rakan-rakannya keluar dari kawasan sekolah asrama di waktu malam.