Tidak letak harga melangit - Naqiu Boboy

Hasimi Muhamad
Disember 28, 2019 23:57 MYT
Jelas Naqiu, peluang kedua yang diberikan untuk kembali bergiat aktif dan mencari rezeki dalam industri hiburan tidak akan dipersiakan. Foto Instagram @thisisnaqiu
Juara Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Naqiu Boboy menolak dakwaan bahawa beliau akan bersikap "demand" terhadap bayaran membabitkan persembahan nyanyian.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, berkata, semua urusan harga bayaran bergantung kepada acara yang disertai.
Jelas penyanyi berusia 33 tahun itu, pihak pengurusannya tidak meletakkan bayaran sesuka hati, sebaliknya ia boleh dirunding.
“Apa-apa pun, syukur Alhamdulillah sebab rezeki itu datang daripada Allah. Dan untuk harga, sebenarnya kita berbalik kepada apa acara yang kita nak sertai.
“Kalau acara itu besar, maknanya besarlah payment. Jadi, itu bergantung kepada acara. Kita bukan meletakkan harga yang melangit dan tinggi-tinggi, tetapi kita ikut pada acara yang disertai,” katanya ketika ditemui pada konsert ‘Picnic In The Farm’ di Ladang 16, di sini pada Sabtu.
Konsert itu diserikan dengan persembahan daripada juara bersama GV6, Hady Mirza dan beberapa bintang lain termasuk Jatt, Nurfatima, One Nation Emcees, Sham Visa, Wann dan Noorshila Amin.
BACA: Pertama kali terjadi, Naqiu dan Hady Mirza diumum juara bersama GV6!
Dalam perkembangan sama, Naqiu menambah beliau kini sedang sibuk menyiapkan single terbaharu yang dijangka menemui pemimat dalam masa terdekat.
Malah, Naqiu turut menerima pelbagai tawaran termasuk disunting sebagai pelakon.
Jelasnya, peluang kedua yang diberikan untuk kembali bergiat aktif dan mencari rezeki dalam industri hiburan tidak akan dipersiakan.
Minggu lalu, Naqiu membawa pulang wang tunai RM100,000 selepas dinobatkan sebagai juara GV6 bersama Hady pada konsert akhir program nyanyian itu.
#Gegar Vaganza #GV6 #hiburan #konsert #Naqiu Boboy #single terbaharu