[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
HIBURAN

'Tidak miming, akan menari macam dahulu'- Janji 4U2C pada konsert 15 Sept depan

Bernama 25/06/2025 | 05:45 MYT
Ketua kumpulan hip hop legenda era 1990-an, 4U2C, Datuk AC Mizal ketika sidang media konsert istimewa 'WE 4U2C Live in Concert' di Bukit Bintang semalam. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menghilang dari radar muzik tempatan, kumpulan hip hop legenda era 1990-an, 4U2C bakal mengubat kerinduan peminat setia mereka dalam sebuah konsert eksklusif bertajuk 'WE 4U2C Live in Concert' di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 Sept ini.

Ringkasan AI
  • Kumpulan hip hop legenda 4U2C akan mengadakan konsert WE 4U2C Live in Concert pada 15 September 2025 di Petaling Jaya, menampilkan lagu klasik dan tiga lagu baharu sebagai kejutan untuk peminat.
  • Konsert ini dianggap sebagai kemunculan semula rasmi mereka selepas lama menyepi, dengan janji persembahan penuh aksi, bukan sekadar miming, serta diketuai oleh maestro muzik Aubrey Suwito.
  • Tiket mula dijual 30 Jun dengan harga RM155 hingga RM555, dan konsert ini dijangka menjadi penanda kebangkitan semula 4U2C sebagai peneraju hiburan hip hop Malaysia.

Dengan tema yang cukup menggamit nostalgia,'Bringin Back Da 90's Flava', konsert ini bukan sahaja menampilkan lagu-lagu malar segar seperti Fiona, Kami Rappers dan I Miss U, malah turut mempersembahkan tiga lagu baharu yang terdiri daripada satu lagu balada dan dua lagu rancak sebagai satu kejutan istimewa buat para peminat yang setia menunggu.
Kumpulan yang terdiri daripada Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam ini tidak mahu sekadar mengimbau nostalgia sahaja, malah menurut AC Mizal, konsert ini adalah impian yang menjadi kenyataan buat mereka semua.
"Ini memang mimpi jadi kenyataan. Kami janji, persembahan kali ini bukan sekadar nyanyian 'miming' tetapi kami akan menari dan menghiburkan seperti dulu, tiga dekad yang lalu," katanya pada sidang media konsert di Bukit Bintang semalam.
Konsert istimewa itu dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 15 September ini.  - Foto Bernama
Menurutnya, idea penganjuran konsert ini bermula daripada isteri beliau, Datin Emylia Rosnaida selepas melihat kejayaan konsert KRU baru-baru ini sebelum pihak Juss Event Sdn Bhd tampil dengan tawaran rasmi.
Pengacara popular itu berkata penganjuran konsert itu juga adalah langkah awal mereka untuk kembali aktif dalam arus perdana industri muzik tempatan selepas sekian lama menyepi.
"Objektif kami adalah untuk menjadi 'trendsetter' dengan mengembalikan sejarah lalu. Ini peluang terbaik untuk kami membuat kemunculan semula.
"4U2C merupakan kumpulan pertama di Malaysia yang tampil dengan konsep nyanyian sambil menari dan identiti itu akan terus dikekalkan dalam konsert kali ini. Kami mahu tunjuk bahawa dalam Malaysia ini memang ada artis yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar menyanyi, tetapi mampu menghiburkan secara menyeluruh," katanya.
AC Mizal berkata dalam memastikan mutu persembahan berada pada tahap tertinggi, maestro Aubrey Suwito turut dilantik sebagai pengarah muzik, dibantu oleh barisan 14 pemuzik profesional yang berpengalaman luas dalam industri.
Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Jun ini menerusi platform Ticket Empire dan Fantopia, dengan harga bermula RM155 hingga RM555, serta pembelian boleh dibuat menerusi Atome, Pay Later by Grab dan Shopee Pay Later.
Maklumat lanjut berkaitan konsert boleh didapati menerusi laman web rasmi Juss dan akaun media sosial mereka di Instagram, TikTok dan Facebook @Juss.Events serta perkembangan terkini 4U2C melalui akaun rasmi kumpulan itu.
-- BERNAMA
#konsert 4U2C #WE 4U2C Live in Concert #Live Arena #Fiona