Buat pertama kali dalam sejarah, tiga kumpulan pemuzik terkenal Malaysia - The Strollers (legenda 70an), Lord & The Boys (legenda muzik Rock) dan Blues Gang (legenda muzik Blues) akan berganding tenaga membuat persembahan di Istana Budaya pada 17 Sept sempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata 'Return Of The Legends" dianjurkan bagi memperingati artis tempatan yang telah memberi sumbangan bermakna kepada industri kreatif tempatan.

"Bukan sahaja mereka antara yang terbaik, tetapi mereka juga telah membuktikan bahawa sebuah kumpulan pemuzik yang dianggotai pemuzik pelbagai kaum boleh berjaya. Saya berpendapat ia memang menepati tema Hari Malaysia, Sehati Sejiwa," kata Mohamed Juhari.

Beliau berkata persembahan pembukaan akan dimulakan oleh Dendang Anak (Kumpulan Kebudayaan Muzikal Nusantara) memaparkan pemain guitar berbakat Ahmed Faseeh dan pemain dram Steve Steels.

Satu penampilan khas akan diadakan oleh seorang penyanyi antarabangsa yang juga penulis lagu dan penganjur pertunjukan Datuk Seri Mohd Nasser Ismail Al-Hashemi, yang lebih dikenali sebagai Archer.

Tiket berharga antara RM88 hingga RM488, boleh didapati di redtixasia.com atau secara terus dari Istana Budaya melalui talian 03-4026 5558.