Jennie Blackpink yang memilih untuk mengurus karier seninya tanpa agensi lama iaitu YG Entertainment mendedahkan tentang keputusan yang diambil.

Menurut Jennie dia mahu karier solonya tidak terikat dan boleh menjalankan promosi sendiri di bawah agens miliknya yang diberi nama ODD ATELIER.

“Saya mahu melakukan promosi dan mengurus karier solo dengan bebas sekaligus memperkukuhkan agensi saya,” kata Jennie sewaktu menjadi tetamu dalam program The Seasons - Lee Hyori's Red Carpet yang dihoskan Lee Hyori di KBS 2TV baru-baru ini.

Bercakap tentang pemilihan nama ODD ATELIER atau digelar OA yang ditubuhkan sejak November lalu, Jennie mendedahkan ia mengusung keinginannya untuk terus berkembang.

“ODD ATELIER adalah tentang kemahuan saya melakukan perkara dengan lebih baik dan berbeza daripada orang lain. Tolong sokong saya,” katanya.

Bintang berusia 27 tahun itu kemudian memberitahu meski banyak memberi fokus terhadap karier solo pada tahun ini, dia  tidak pernah mempunyai masalah atau perseteruan dengan agensi lama.

Dia malah sangat bersyukur kerana telah berkesempatan menjadi salah seorang ‘anak’ di YG Entertainment.

“Saya hanya menjalani karier solo di bawah agensi sendiri tapi semua aktiviti berkaitan Blackpink masih diuruskan YG Entertainment.

“Saya telah lama bersama YG Entertainment. Inilah agensi tempat sejak saya menjadi trainee sehingga sekarang.

“Saya belajar banyak perkara di sini dan masih mempunyai hubungan yang baik,” akuinya. - Gempak