Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Bermula 30 September – PM Anwar
HIBURAN

Tom Holland dilapor cedera ketika penggambaran filem terbaharu Spider-Man

Astro Awani 22/09/2025 | 04:00 MYT
Holland mengalami gegaran otak selepas terjatuh ketika melakonkan babak aksi filem Spider-man: Brand New Day. -Gambar fail/Reuters
PELAKON terkenal Hollywood, Tom Holland, dilapor mengalami kecederaan ringan semasa menjalani penggambaran filem terbaharu dalam francais Spider-Man bertajuk "Spider-Man: Brand New Day" di Leavesden Studios, Watford, England.


Ringkasan AI
  • Tom Holland mengalami gegaran otak ringan semasa penggambaran Spider-Man: Brand New Day dan dijangka berehat beberapa hari sebelum kembali bekerja.
  • Penggambaran dihentikan sementara untuk menilai semula jadual selepas insiden melibatkan Holland dan seorang pelakon lagak ngeri wanita.
  • Filem keempat Spider-Man lakonan Holland ini dijadualkan tayang pada 31 Julai 2026 dan turut dibintangi Zendaya, Jacob Batalon, Mark Ruffalo, Sadie Sink dan Jon Bernthal.


Menurut laporan media antarabangsa, Holland, 29, mengalami gegaran otak selepas terjatuh ketika melakonkan babak aksi pada Jumaat lalu.

Beliau telah dikejarkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan dijangka berehat selama beberapa hari sebelum kembali ke set penggambaran.

Kejadian tersebut turut melibatkan seorang pelakon lagak ngeri wanita yang dipercayai turut dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Tiada kecederaan serius dilaporkan dan pihak produksi telah mengambil langkah segera untuk menghentikan sementara penggambaran bagi menilai semula jadual produksi.

Ayah kepada Holland, Dominic Holland, memaklumkan kepada media semasa menghadiri majlis amal bahawa anaknya akan berehat untuk satu tempoh sebelum kembali bekerja.

Holland turut hadir ke acara amal bersama tunangnya, Zendaya, yang juga membintangi filem tersebut, namun dilaporkan meninggalkan majlis lebih awal selepas berasa kurang sihat.

"Spider-Man: Brand New Day" merupakan filem keempat dalam siri Spider-Man lakonan Holland dan dijadualkan ditayangkan pada 31 Julai 2026.

Filem ini diarahkan oleh Destin Daniel Cretton dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Zendaya, Jacob Batalon, Mark Ruffalo, Sadie Sink, dan Jon Bernthal.

Insiden ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai keselamatan pelakon ketika melakonkan babak aksi, khususnya bagi mereka yang memilih untuk melakukan sendiri aksi berisiko tinggi.

Holland sebelum ini dikenali kerana komitmennya dalam melakonkan sendiri babak aksi dalam filem-filem terdahulu.

Pihak Sony Pictures dan Marvel Studios dijangka mengadakan mesyuarat bagi menyusun semula jadual penggambaran dan memastikan keselamatan semua kru produksi terjamin sebelum penggambaran disambung semula.







#penggambaran filem #Tom Holland #Spider-Man Brand New Day #gegaran otak