Tuduhan terhadap Alec Baldwin atas pendakwaan membunuh tanpa sengaja ahli sinematografi, Halyna Hutchins di lokasi penggambaran filem Rust telah digugurkan, kata peguam aktor ternama Hollywood itu.

"Kami menerima dengan baik keputusan untuk menarik balik kes terhadap Alec Baldwin dan kami mengalu-alukan siasatan yang teliti terhadap fakta-fakta kemalangan tragik ini," kata peguam Baldwin, Luke Nikas dan Alex Spiro dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Pejabat Peguam Daerah Pertama New Mexico, Mary Carmack-Altwies, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai perkara tersebut kepada NBC News.

Menurut laporan portal itu, apa yang tidak jelas juga ialah sama ada tuduhan terhadap Hannah Gutierrez-Reed yang merupakan pengurus senjata api dalam filem Rust akan diteruskan atau sebaliknya.

Hutchins, 42, ditembak mati pada 21 Oktober 2021 semasa penggambaran filem berkenaan dijalankan di Bonanza Creek Ranch, New Mexico.

Baldwin ketika itu sedang berlatih dengan pistol untuk adegan tertentu sebelum senjata api itu tiba-tiba meletup dan tertembak Hutchins dan menyebabkan pengarah filem berkenaan, Joel Souza, cedera.

Perbicaraan kes terhadap Baldwin, 64, sejak dari awal lagi diwarnai dengan kontroversi terutama apabila pendakwa raya Andrea Reeb dipaksa meletakkan jawatan berikutan tuduhan memiliki konflik kepentingan oleh pasukan pembelaan.

Berita pengguguran tuduhan terhadap Baldwin diumumkan pada hari sama dengan penggambaran semula filem Rust di Yellowstone Ranch, Montana.

Filem ini dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 20 hari lagi penggambaran dan Baldwin dilaporkan berada di lokasi penggambaran pada Khamis. - Agensi