[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
HIBURAN

Tulus, Sal Priadi dan Kunto Aji bakal gegar Kuala Lumpur 5 Disember

Faida Rahim 30/09/2025 | 08:52 MYT
Idea Live Arena, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kelima dalam siri jelajah muzik tersebut yang menghimpunkan Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf dalam satu persembahan kolaboratif yang unik dan dinamik.- Sumber foto Tur SAMA SAMA
KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan fenomena di empat bandar utama Indonesia, Tur SAMA SAMA yang menampilkan lima pemuzik berpengaruh dari Indonesia bakal menemui peminat di Malaysia pada 5 Disember ini.

Idea Live Arena, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kelima dalam siri jelajah muzik tersebut yang menghimpunkan Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf dalam satu persembahan kolaboratif yang unik dan dinamik.

Tur SAMA SAMA yang sebelum ini mendapat sambutan luar biasa di Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor, dijangka terus mencipta sejarah apabila bertandang ke Malaysia buat pertama kali.

Menurut penganjur bersama, PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive, penganjuran konsert ini adalah hasil janji yang dibuat oleh para pemuzik kepada peminat mereka semasa konsert penutup di Bogor pada Mei lalu.

Menurut Udzir Harris dari Thrive berkata, pengumuman Tur SAMA SAMA yang bakal diselenggarakan di Idea Live Arena merupakan sebuah mimpi besar yang hampir direalisasikan.

“Tentu sahaja pengumuman Tur SAMA SAMA yang bakal diselenggarakan di Idea Live Arena menjadi sebuah mimpi besar yang hampir direalisasikan kami selaku penganjur setelah mendapat sambutan hangat di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Bram Tulong dari ExpoIndo berkata Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi, Idgitaf akan bertandang ke sini membawa tema kolaborasi tak biasa di Tur SAMA SAMA juga adalah janji kerana sedar apresiasi peminat terhadap mereka cukup besar.

Tiket pra-penjualan (presale) telah mula dijual pada 29 September dengan harga bermula RM228.

Sebanyak 11 kategori tiket ditawarkan termasuk Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh didapati melalui aplikasi BBO Events dan laman sesawang samasamatur.com.

Sal Priadi turut menyatakan keterujaannya untuk berkongsi pentas bersama rakan pemuzik lain dalam format persembahan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio, hingga kuintet kami,” katanya.

Tur SAMA SAMA dijangka menyajikan pengalaman muzik yang berbeza apabila para pemuzik bukan sahaja membawakan lagu masing-masing, malah saling bertukar lagu dan mempersembahkan susunan baharu yang eksklusif.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Tur SAMA SAMA, orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi @thriveevents_my.





#Tur SAMA SAMA #konsert #Tulus #Kunto Aji