HIBURAN

Turkiye batal konsert Robbie Williams kerana kebimbangan keselamatan

Agensi 06/10/2025 | 00:20 MYT
Williams dalam satu kenyataan di Instagram Story berkata, dia amat kecewa tidak dapat mengadakan persembahan di Istanbul.
ISTANBUL: Pihak berkuasa Turkiye membatalkan konsert penyanyi British, Robbie Williams, yang dijadualkan berlangsung pada 7 Oktober di Istanbul atas alasan “kebimbangan keselamatan” selepas menerima beberapa gesaan untuk mengadakan protes.

Menurut sumber pejabat Gabenor Istanbul kepada AFP pada Ahad, keputusan itu dibuat berikutan sensitiviti tarikh berkenaan yang merupakan ulang tahun serangan berdarah Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan perang di Gaza serta gelombang protes di seluruh dunia.

Syarikat penganjur konsert memaklumkan, pembatalan itu dibuat “selaras dengan keputusan pejabat Gabenor Istanbul” dan menambah, bayaran balik tiket akan diproses tidak lama lagi menerusi platform pembelian asal.

Williams, 51, dalam satu kenyataan di Instagram Story berkata, dia amat kecewa tidak dapat mengadakan persembahan di Istanbul.

“Pihak berkuasa bandar telah membatalkan konsert atas faktor keselamatan awam. Keselamatan peminat adalah keutamaan saya,” katanya.

Williams sebelum ini pernah membuat persembahan di Israel pada 2015 dan 2023 meskipun menerima tekanan daripada aktivis pro-Palestin untuk memboikot negara tersebut.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Turkiye turut mendesak agar konsert itu dibatalkan, manakala kumpulan termasuk Islamic Solidarity Platform merancang protes dengan slogan “Zionist Robbie Williams, get out of Turkiye!”

Insiden ini bukan yang pertama, kerana pada September lalu, pihak berkuasa Turkiye turut membatalkan konsert penyanyi Perancis, Enrico Macias, di Istanbul susulan bantahan terhadap pandangan pro-Israel beliau.

Macias yang berusia 86 tahun menyatakan rasa terkejut dan dukacita kerana tidak dapat bertemu peminat Turkiye yang sudah beliau hiburkan selama enam dekad. - Agensi



#Robbie Williams #konsert Robbie Williams #Tukiye batal konsert Robbie Williams #kebimbangan keselamatan