FILEM Fast and Furious bakal menemui penghujung apabila pelakon utama Vin Diesel mengesahkan perkara tersebut.

Dalam temu bual bersama The Associated Press, kata pelakon itu, sekuel Fast and Furious akan berakhir selepas dua lagi filem menyusuli F9 yang akan ditayangkan di pawagam pada 25 Jun ini.

Jelasnya, Universal Pictures mahu menamatkan kisah panjang itu dalam dua bahagian.

Diesel berkata, dua filem terakhir itu kemungkinan akan ditayangkan pada 2023 hingga 2024.

"Setiap cerita berhak mempunyai penamat sendiri," katanya pada sidang media promosi F9 apabila ditanya mengenai masa depan filem francais itu.

Tambah Diesel, ketika memberitahu anak perempuannya konklusi berkaitan filem tersebut dia mula menangis.

"Saya tahu orang ramai akan merasakan ia tidak seharusnya berakhir, namun saya rasakan semua perkara yang baik perlu berakhir, Francais ini mempunyai hak untuk mendapatkannya," kata Diesel.

Diesel membintangi Dominic Toretto sejak filem The Fast and Furious pada tahun 2001.

Filem berkisarkan mengenai kereta itu telah mendapat kutipan besar dalam box-office domestik dan antarabangsa dengan dua filem terakhir masing-masing menghasilkan lebih daripada AS$1 bilion.

Pengarah Justin Lin berkata, idea untuk menghasilkan penamat untuk francais tersebut selepas perbincangannya dengan Diesel.

"Kami berkumpul dan Diesel menyatakan saya harus memikirkan untuk menamatkan saga itu sekarang," kata Lin yang telah mengarahkan lima filem francais itu.

Jelas Lin, Fast and Furious 9 adalah jenis filem pertama untuk penamatan francais tersebut.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!