Vokalis kumpulan The Cranberries, Dolores O’Riordan meninggal dunia pada Isnin.

O’Riordan, 46 tahun, dilapor menghembuskan nafas terakhir di London. Punca kematiannya masih belum diketahui.

Kumpulan sensasi The Cranberries ditubuhkan di Limerick, Ireland pada 1989 dan mencipta fenomena di pentas muzik antarabangsa pada awal 1990-an.

Selain O’Riordan, kumpulan ini turut dianggotai tiga ahli lain iaitu pemain gitar Noel Hogan, pemain bass Mike Hogan dan pemain drum Fergal Lawler.


Antara lagu kumpulan ini yang masih menjadi siulan sehingga ke hari ini ialah Zombie, Linger, Ode To My Family dan Dreams.

The Cranberries berpecah pada 2003 namun kembali bersatu pada 2009.

Sepanjang tempoh ahli kumpulan itu memilih membawa haluan masing-masing, O'Riordan tampil menghasilkan album solonya sendiri iaitu "Are You Listening?" pada 2007 dan "No Baggage" pada 2009.

Pada 2017, mereka menghasilkan sebuah album akustik "Something Else" dan telah mengadakan konsert jelajah di Eropah dan Amerika Utara.

Namun pada ketika itu durasi konsert jelajah tersebut terpaksa dipendekkan kerana O’Riordan mengalami sakit tulang belakang.