Watak Mickey Mouse memasuki domain awam

Amanz
Januari 2, 2024 07:00 MYT
Sesiapa sahaja boleh menggunakan rekaan Mickey Mouse daripada animasi Steamboat Willie tanpa perlu membayar royalti kepada Disney. - Gambar/ Amanz
SEMALAM watak Mickey Mouse yang dipaparkan dalam animasi Steamboat Willie dari tahun 1928 secara rasminya memasuki domain awam.
Ini bermakna sesiapa sahaja boleh menggunakan rekaan Mickey Mouse daripada animasi ini tanpa perlu membayar royalti kepada Disney. Ini kerana menurut undang-undang harta intelek Amerika Syarikat, sebarang media yang berusia 95 tahun akan secara automatik memasuki domain awan.
Pada asalnya hak Disney ke atas rekaan watak Steamboat Willie sepatutnya luput pada tahun 1998 tetapi selepas Akta Hak Cipta 1976 dipinda, hak cipta penulis dipanjang ke 70 tahun dan hak cipta untuk syarikat pula dipanjangkan ke 95 tahun.
Walaupun rekaan Mickey Mouse dari animasi Steamboat Willie kini memasuki domain awam, orang ramai tidak dibenarkan menggunakan nama dan gaya suara Mickey Mouse dalam karya yang mereka hasilkan.
Disney memegang tanda dagang untuk nama tersebut. Orang ramai juga tidak boleh menghasilkan kandungan yang kemudian dikaitkan pula dengan Disney. Rekaan Mickey berwarna yang digunakan oleh Disney pada taman tema dan pelbagai produk juga tidak memasuki domain awam. - Amanz
#Mickey Mouse #domain awam #tiada lagi royalti #hak cipta