Yuna, penyanyi tempatan yang sedang mengukir nama di Amerika Syarikat, akan muncul menerusi program E! News Asia Special: Yuna pada Selasa depan.

Menariknya, program selama 30 minit itu secara eksklusif membongkar dan mendedahkan rahsia tentang siapa sebenar gadis yang dikenali dengan jolokan 'A poster girl for young hijabters' itu.

Yuna ketika ditemui pada majlis sidang media program tersebut baru-baru ini mengaku teruja mahu berkongsi fakta tentang dirinya dengan peminat.

"Saya akui seorang yang cukup berahsia terutama hal peribadi tetapi kali ini, saya sangat selesa dan teruja mahu berkongsi dengan peminat tentang siapa sebenarnya diri saya yang mereka tidak pernah tahu selama ini.

"Ada banyak yang menarik dan istimewa yang saya dedahkan menerusi program ini antaranya berkongsi gambar sewaktu kecil dan mungkin tidak ramai yang tahu saya cukup rapat dengan keluarga, atuk, nenek, sepupu dan saudara mara.

"Keluarga saya adalah paling utama dalam hidup dan saya mahu kongsikan pada umum mengenai dunia saya yang bukan saja sebagai seorang penghibur yang mereka kenali selama ini," katanya yang akan muncul menerusi program 'E! News Asia Special: Yuna' di Astro (Saluran 712) pada 25 November ini, jam 10 malam.

Dalam perkembangan lain, Yuna kini sedang giat mengumpulkan karya untuk album terbaharu yang dijangka akan berada di pasaran tidak lama lagi.

"Sebelum balik bercuti baru-baru ini, saya sudah melaksanakan beberapa projek seperti rakaman muzik video dan konsert jelajah.

"Untuk projek terkini, saya berkolaborasi bersama G-eazy dalam lagu terbaru saya 'Light And Camera' versi remix dan dia menyanyikan bahagian rap dalam lagu tersebut," katanya.

Dalam pada itu Yuna sempat menyatakan impiannya untuk melancong mengelilingi dunia sebelum usia mencecah 30 tahun.

Selain itu, kata Yuna, dia turut menyimpan hasrat untuk berkolaborasi dengan beberapa artis antarabangsa seperti kumpulan Coldplay dan John Mayer.

"Sejak kebelakangan ini saya kerap mendengar lagu John Mayer. Alangkah seronoknya jika saya dapat berkolaborasi dengan dia, tetapi sebenarnya saya nak sangat berkolaborasi dengan Coldplay.

"Apabila saya dengar lagu Rihanna dengan Coldplay, saya cemburu sebab saya rasa sepatutnya saya yang berkolaborasi dengan mereka," katanya.