KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,019 kes COVID-19 melibatkan 26 kluster yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dikesan sejak 13 Mei hingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, dua kematian telah dilaporkan sehingga kini manakala satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Seramai 4,047 individu telah disaring yang mana sebanyak 1,019 kes telah dikenal pasti positif dalam kluster-kluster ini iaitu kadar positiviti 25.1 peratus," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan bilangan kluster sambutan Aidilfitri tertinggi dengan tujuh kluster diikuti Kelantan (lima kluster) manakala Johor, Melaka, Pahang, Selangor serta Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing dua kluster.

Pihaknya juga menjangkakan jumlah kes dan bilangan kluster meningkat dan berkemungkinan melibatkan lebih banyak negeri serta daerah.