KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Selangor sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia merangkumi tiga kategori iaitu penderaan fizikal, penderaan emosi dan penderaan atau gangguan seksual seperti yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor.

"Berikut dinyatakan perincian bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan di negeri Selangor untuk bulan Januari hingga September 2021 iaitu penderaan fizikal 527 kes, penderaan emosi (35) dan penderaan atau gangguan seksual (514)," katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli yang ingin tahu jumlah kes pedofilia yang dicatatkan di Selangor sejak 2018 dan bagaimana pihak kerajaan negeri membantu mengurangkan kes tersebut.

Jelas Dr Siti Mariah, PDRM tidak mengkhususkan kes pedofil dengan kes penderaan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mempunyai 11 Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di Selangor bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes melibatkan kanak-kanak termasuk kes pedofilia.

PPKK merupakan sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti.

"Usaha ini dilakukan untuk membantu mencegah kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak, ponteng sekolah, kerosakan akhlak dan lain-lain masalah sosial," ujarnya.

Pada tahun 2021, negeri Selangor mempunyai 11 PPKK dan 17 buah PAKK yang memberi faedah dan manfaat kepada kanak-kanak yang tinggal di dalam komuniti.