Sebanyak 1.5 juta daripada 2.8 juta permohononan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan sehingga 17 April lalu melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta pada bulan Mei.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan perkara itu melalui perkongsian Laporan Ke-2 Pencapaian Perlaksanaan Pakej PRIHATIN menerusi akaun Facebook miliknya pada Selasa.

Tambahnya, melalui permohonan itu yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP bagi meringankan beban yang dihadapi mereka ketika negara menghadapi kesulitan ekonomi disebabkan wabak COVID-19.

Jelas Zafrul, enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 billion telah dimulakan antaranya moratorium, i-Lestari dan subsidi upah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) di bawah KWSP akan dibuka untuk permohonan mulai 24 April 2020.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak menangguhkan caruman majikan KWSP. Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan,” katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 billion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa PKP dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.

Katanya di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.

Namun, katanya pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau lapan peratus pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka.

“Bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna kepada mereka pada April ini,” katanya.