1 bilion penduduk tinggalkan kediaman secara rela atau paksa - WHO
Bernama
Oktober 31, 2023 12:40 MYT
Oktober 31, 2023 12:40 MYT
GENEVA: Seramai satu bilion penduduk di seluruh dunia meninggalkan kediaman mereka sama ada secara rela atau terpaksa, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam agenda penyelidikan global yang julung kali diterbitkan pada Isnin.
WHO dalam kenyataannya berkata agenda mengenai kesihatan, migrasi dan kehilangan tempat tinggal itu bertujuan untuk membimbing usaha penyelidikan bagi memahami dan menangani keperluan kesihatan migran, pelarian dan penduduk yang hilang tempat tinggal secara paksa.
Agenda itu juga membentuk dasar dan amalan yang responsif di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.
"Terdapat satu bilion orang pada masa ini meninggalkan kediaman mereka secara pilihan atau paksaan disebabkan pelbagai faktor seperti peperangan, konflik, ketidaksamaan pendapatan, peralihan ekonomi, perbandaran dan perubahan iklim.
"Namun, terdapat kekurangan pengetahuan mengenai perkara yang berkesan untuk menyokong kesihatan orang yang berpindah," katanya.
WHO berkata jurang pengetahuan sedemikian memberi kesan kepada kesejahteraan orang ramai dan memperlahankan kemajuan global ke arah liputan kesihatan sejagat dan Matlamat Pembangunan Mampan.
Menurut WHO terdapat lima tema penyelidikan utama telah dipersetujui yang memerlukan pelaburan lebih besar, antaranya cara untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan dan mencapai liputan kesihatan sejagat yang inklusif, tindakan menjadikan persediaan kecemasan kesihatan lebih responsif, pemahaman yang lebih baik mengenai penentu kesihatan dan kaedah mengatasinya.
-- BERNAMA