[TERKINI] Nahas Gerik: Bas Bawa Penuntut UPSI Dipandu Melebihi Had Laju Dua Kali Ganda – Semak Perincian MOT Di Sini
MALAYSIA

10 murid cedera van sekolah dinaiki terbalik

Bernama 18/07/2025 | 04:50 MYT
Keadaan van sekolah membawa 16 pelajar dari tiga sekolah yang terbalik di Jalan Abdul Samad sekitar jam 7 pagi tadi. -Foto media sosial
JOHOR BAHRU: Seramai 10 murid cedera selepas van sekolah dinaiki mereka terbalik di Jalan Abdul Samad di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Sebuah van sekolah terbalik di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, menyebabkan 10 murid cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
  • Van tersebut membawa 16 pelajar dari tiga sekolah, dan insiden berlaku sekitar jam 7 pagi; kecederaan termasuk patah tangan, jari dan kecederaan ringan.
  • Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kemalangan, dan mangsa dijamin menerima rawatan serta pemantauan kesihatan terbaik.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 7 pagi dan mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

"Van itu dinaiki 16 murid dan pelajar terdiri daripada tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd Khalid, tiga pelajar SMK Aminuddin Baki dan 10 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.

"Kesemua 10 murid SJKT Jalan Yahya Awal yang cedera itu antaranya mengalami patah tangan, patah jari dan kecederaan ringan lain.

"Masing-masing berusia antara 10 hingga 12 tahun," katanya menerusi hantaran Facebook.


Beliau berkata insiden itu amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

Beliau turut memberi jaminan kesemua mangsa akan menerima rawatan dan pemantauan kesihatan terbaik.

Pihak berkuasa juga, katanya, sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kemalangan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi menjamin keselamatan pelajar.

"Sama-sama kita doakan agar semua yang cedera segera sembuh dan dipermudah segala urusan mereka serta keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-- BERNAMA






#van sekolah terbalik #Jalan Abdul Samad #10 murid cedera #Hospital Sultanah Aminah