SHAH ALAM: Sebanyak 10 peratus daripada kira-kira 1,900 premis yang mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) di Selangor tidak memenuhi piawaian sijil berkenaan seperti tidak melaksanakan latihan kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata selain tidak melaksanakan latihan kebakaran bagi menguji sistem pencegahan dan keselamatan bangunan sekiranya insiden kebakaran berlaku, premis berkenaan juga didapati tidak akur dari segi piawaian pengubahsuaian bangunan.

Beliau berkata latihan kebakaran perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menilai tahap keselamatan dan kesiapsiagaan bomba dan pasukan tindakan kecemasan (ERT) sesebuah bangunan.

"Sistem pencegahan keselamatan setiap bangunan perlu dipastikan sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan berfungsi dengan baik, dan tidak menjadi punca kepada kegagalan dalam operasi pemadaman dan penyelamatan sekiranya berlaku perkara tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau latihan kebakaran premis dan penyelamatan mangsa di pusat beli-belah AEON Shah Alam di sini semalam.

Wan Md Razali berkata terdapat sembilan kategori premis perlu mempunyai FC iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan serta storan dan am.

Sementara itu, beliau berkata situasi banjir di Sungai Buloh kini terkawal dengan air di kawasan terjejas sudah mulai surut manakala sebilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibenarkan pulang.

Wan Md Razali bagaimanapun berkata PPS Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfields yang dibuka semalam masih beroperasi setakat ini.

"Insiden banjir ini antaranya berpunca daripada hujan lebat yang berlaku bersekali dengan air pasang. Bagaimanapun keadaan adalah terkawal," katanya dan menambah seramai 500 pegawai dan anggota diletakkan dalam keadaan bersiap siaga berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

-- BERNAMA