10 rumah musnah dalam kebakaran di Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
Februari 14, 2021 12:36 MYT
Kejadian kebakaran kira-kira jam 3.40 petang tadi memusnahkan sepuluh buah rumah di Jalan Seberang Kereta Api, dekat Alor Setar. - Foto JBPM
ALOR SETAR: Letupan kuat menyelamatkan mangsa daripada maut dalam kejadian kebakaran.
Demikian detik cemas dilalui Nazri Hamzah, 40, apabila terdengar letupan kuat dari rumah jiran sebelum terlihat api menyambar deretan rumah lain.
Kejadian kebakaran kira-kira jam 3.40 petang tadi memusnahkan sepuluh buah rumah di Jalan Seberang Kereta Api, dekat Alor Setar.
Nazri berkata, ketika kejadian dia sedang duduk di hadapan rumah sebelum terdengar jeritan beberapa jirannya meminta tolong.
"Saya keluar pasal dengar bunyi letupan dekat rumah jiran, bila dah keluar pergi tengok dia dah sambar sebiji rumah," katanya.
Sejurus kemudian, Nazri membantu menyelamatkan jirannya terutama yang mempunyai anak kecil untuk keluar dari rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri.
Jelas Nazri, barangan rumahnya yang hanya sempat diselamatkan hanyalah sebuah peti sejuk.
Namun, sejumlah wang tunai yang disimpan kira-kira RM7,000 musnah terbakar.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.43 petang.
Sebaik tiba di lokasi kejadian api sedang marak menyambar rumah yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu.
Beliau berkata, faktor jalan di kawasan itu sempit membuatkan jentera tangki air tidak dapat memasuki laluan berkenaan.
"Kita mengalami kesukaran dari segi keadaan pili bomba kita bertekanan rendah dan kita telah menggunakan sumber air terbuka yang mana di sebelah sana ada sungai yang agak besar.
"Angin kuat selain cuaca panas terik menjadi faktor api merebak dengan cepat selain kedudukan rumah pada jarak rapat," jelasnya.
Menurut beliau, pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal api daripada merebak dan setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dilakukan untuk memastikan bara api padam sepenuhnya, kerana ia boleh mengakibatkan kebakaran semula.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan dibantu 15 anggota BBP Alor Setar serta 12 pegawai dari JBPM Kedah.
Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Alor Mengkudu, Seberang Nyonya, Kampung Berjaya dan Kuala Kedah.
#kebakaran #Letupan kuat #Nazri Hamzah #Jalan Seberang Kereta APi #Alor Setar #JBPM #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia