10 SOP baharu: Harap lebih mudah difahami, persiapan ke fasa endemik

Hasimi Muhamad
September 17, 2021 08:21 MYT
Lam Thye juga melahirkan keyakinan bahawa SOP baharu yang bakal diperkenalkan kelak disambut baik oleh orang ramai dan pemegang taruh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikurangkan daripada 181 kepada hanya 10 SOP diharap lebih mudah difahami.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan, apa yang lebih penting, ia sebagai persiapan untuk negara mencapai imuniti kelompok dan memasuki fasa endemik.
Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa SOP baharu yang bakal diperkenalkan kelak akan disambut baik oleh orang ramai dan pemegang taruh.
"Selepas kita telah melaksanakan begitu banyak SOP dalam tempoh hampir dua tahun, kita sudah mendapat banyak pengalaman.
"Pihak kerajaan terutamanya mereka sudah tahu apakah masalah yang dihadapi, kelemahan-kelemahan yang ada dalam SOP, yang perlu dikaji semula ataupun diperkemaskan agar SOP itu dikurangkan untuk menjadikan ia lebih mudah difahami.
"Apa yang penting supaya SOP baharu itu akan lebih mesra dengan masyarakat," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata kementerian dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing untuk menghebahkan SOP tersebut bagi memastikan ia sampai kepada semua lapisan masyarakat.
Katanya lagi, SOP baharu itu wajar dimaklumkan lebih awal agar semua pihak tahu apa yang perlu dilaksanakan.
"Jadi, usaha bukan sahaja ditanggung oleh pihak berkuasa tetapi juga oleh semua badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu menyebarkan maklumat yang perlu supaya orang ramai akan bersiap sedia untuk melaksanakannya.
"Bagi saya, penting ialah soal berkaitan dengan kepatuhan SOP, dan ia perlu diteruskan sama ada untuk 10 SOP atau apa-apa kepatuhan SOP," katanya.
Ditanya mengenai SOP yang boleh dipertimbangkan, Lam Thye berkata ia antaranya perlu memfokuskan kepada semua lapisan masyarakat, tempat kerja, perniagan serta kemudahan rekreasi.
"SOP harus diberikan penjelasan dan di samping itu, kalau ada keraguan, pihak berkuasa boleh menyediakan kemudahan untuk orang ramai bertanya," katanya lagi.
#Pelan Pemulihan Negara #SOP baharu #Covid-19 Malaysia #imuniti kelompok #Fasa endemik Malaysia