10 unit tambahan mesin bantuan pernafasan untuk Hospital Sibu

Astro Awani
Januari 30, 2021 12:27 MYT
Ketika ini hanya terdapat tiga mesin bantuan pernafasan di Hospital Sibu dan ia tidak mencukupi bagi merawat jumlah pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di daerah itu. - Foto Facebook / info.sibu
SIBU: Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju membekalkan fasiliti kesihatan tambahan untuk kegunaan di Sibu sebagai usaha rawatan bagi pesakit COVID-19 di bahagian itu.
Antara langkah segera adalah dengan menambah mesin bantuan pernafasan di hospital Sibu.
"Kerajaan negeri akan membekalkan tambahan 10 unit mesin bantuan penafasan.
"Ini tambahan untuk tiga mesin yang sedia ada di hospital," jelasnya pada Taklimat Bersama Ketua Menteri - Keadaan Semasa COVID-19 Bahagian Sibu di sini hari ini.
Taklimat turut dihadiri, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa'ee dan Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw.
Dalam pada itu, Abang Johari turut memberitahu, kerajaan negeri akan menambah tempat yang akan digunakan sebagai pusat kuarantin dan juga akan menempatkan pesakit berisiko rendah.
"Kita telah bersetuju dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu di bawah Menteri Muda Kesihatan Dr Annuar Rapa'ee bagi mengenalpasti beberapa bangunan dan tempat yang akan dijadikan pusat kuarantin,” ujarnya
Jelas Abang Johari, negara kini di bawah darurat dan kerajaan boleh meminta dan menggunakan apa juga bangunan bagi tujuan tersebut mengikut undang-undang darurat sedia ada.
#COVID-19 #Sarawak #Sibu #Ketua Menteri #Abang Johari #kesihatan