Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk melaksanakan 17 inisiatif yang berkaitan dengan soal tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahan.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, banyak kejayaan yang telah ditempa dalam masa yang singkat di bawah kepimpinan Dr Mahathir bagi melahirkan Malaysia yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi.

Menurut beliau, dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) baru-baru ini, Dr Mahathir ada memaklumkan bahawa dalam konteks tadbir urus, integriti, antirasuah dan hak asasi manusia, negara telah mula dengan langkah yang baik.

"Kita telah berjaya menggerakkan strategi secara holistik untuk Malaysia lebih dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuah," kata beliau.

Katanya, kerajaan berkomited untuk memulihkan imej "negara kleptokratik" dan mahu Malaysia dikenali sebagai sebuah negara demokratik dan dengan rakyatnya yang berintegriti.

Untuk rekod, sebanyak 21 daripada 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan memberi fokus kepada soal tadbir urus, integriti, antirasuah dan hak asasi manusia.

Dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Dr Mahathir sendiri telah menzahirkan komitmen kerajaan untuk menangani isu rasuah di negara ini.

Bagi membolehkan harapan rakyat menjadi kenyataan, kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).

JKKMAR telah tiga kali bermesyuarat dengan yang terbaharu pada 13 Ogos lalu.

Selain pembentukan JKKMAR, Dr Mahathir telah bersetuju untuk menubuhkan GIACC yang mempunyai enam peranan utama dalam soal tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Pengumuman kedua-dua JKKMAR dan GIACC telah diumumkan Jun lalu iaitu tidak sampai sebulan sejak PH mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat.

Antara perkara yang telah dilaksanakan:

1. Mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan bagi menggerakkan dasar-dasar kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

2. Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) di mana Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik sebagai Ketua Pengarah yang pertama.

3. Penambahbaikan terhadap takrifan “Ahli Politik” yang didapati tidak sesuai dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah sesebuah syarikat atau GLC.

4. Penambahbaikan terhadap dasar perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran Kerajaan.

5. Menggubal Akta Pembiayaan Politik bagi meningkatkan integriti sistem politik negara.

6. Penambahbaikan terhadap mekanisme penerimaan hadiah, keraian serta upahan oleh anggota-anggota pentadbiran dan penjawat awam.

7. Menggubal Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

8. Anggota Pentadbiran tidak lagi boleh mengeluarkan Surat Sokongan ke atas mana-mana projek atau urusan permohonan. Ketua jabatan-ketua jabatan juga diminta tidak lagi menganggap Surat Sokongan sebagai arahan atau keputusan Anggota Pentadbiran.

9. Merangka satu undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran kepada dana Kerajaan.

10. Mewujudkan sebuah agensi khusus yang bertanggungjawab mengintegrasikan agensi-agensi kawalan sempadan supaya pengurusan sempadan lebih berkesan

11. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diperkasakan. Mekanisme pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang lebih telus dengan pertimbangan daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

12. Mengembalikan Kewibawaan Institusi Parlimen.

13. Memantapkan kebebasan Jabatan Audit Negara (JAN). Memberi autonomi dan meletakkan Jabatan Audit Negara di bawah Parlimen.

14. Penubuhan Central Asset Management Corporation (CAMcorp) yang bertanggungjawab bagi pengurusan aset yang dirampas, disita dan dilucut hak

15. Inisiatif Memantapkan Integriti dan Memartabatkan Malaysia – “Malaysia dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah”.

16. GIACC dilantik untuk meneliti menyelaras 223 daripada 256 syor Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang ada kaitan dengan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

17. Mengadakan RCI bagi menyiasat isu kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, Perlis.