100 Hari Kerajaan Perpaduan: Anthony Loke rekod skor puas hati rakyat tertinggi

Rahimah Abdullah
Februari 26, 2023 02:00 MYT
Anthony Loke berada di tangga teratas bagi skor tahap berpuas hati rakyat terhadap jemaah menteri manakala Zahid berada di kedudukan paling bawah dengan memperoleh skor berpuas hati rakyat sebanyak 15 peratus.
KUALA LUMPUR : Setiap apa jua tindak-tanduk dilakukan Kerajaan Perpaduan terutama kalangan jemaah menteri sentiasa menjadi pemerhatian rakyat.
Aspirasi dan misi yang mahu dibawa jemaah menteri perlu terkesan di hati rakyat bagi menentukan tahap kepuasan hati masyarakat terhadap khidmat yang diberikan.
Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan menunjukkan,
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berada di tangga teratas bagi skor tahap berpuas hati rakyat terhadap jemaah menteri.
Loke mendapat skor 49 peratus, manakala, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tangga kedua, dengan skor 40 peratus.
BACA: 100 Hari Kerajaan Perpaduan: Anthony Loke jadi 'Menteri Pilihan Rakyat' - Kaji selidik
Kaji selidik juga menunjukkan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di tangga ketiga dengan skor berpuas hati sebanyak 39 peratus , Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; 34 peratus, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; 33 peratus, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; 30 peratus.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memperoleh skor 28 peratus, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; 27 peratus, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek masing-masing mendapat skor 26 peratus.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memperoleh skor berpuas hati rakyat sebanyak 25 peratus.
Manakala, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berada di kedudukan paling bawah dengan memperoleh skor berpuas hati rakyat sebanyak 15 peratus.
Tinjauan ini merupakan sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kabinet Perpaduan Nasional 2023
Sebanyak 35,077 respons berjaya diperoleh daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara.
Pengumpulan data kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari hingga 16 Februari.
Kerjasama kajian dijalankan antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana, Sinar Harian, Astro AWANI, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.
#Anwar Ibrahim #Anthony Loke #menteri #Kerajaan Perpaduan #puas hati