100 jemaah tunai solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir

Abd Hadi Che Awang
Julai 20, 2021 06:15 MYT
Antara jemaah wanita yang berpeluang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah pada Selasa. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Seramai 100 jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Zahir, di sini dalam norma baharu perayaan buat kali kedua dalam tempoh pandemik COVID-19, pagi tadi.
Imam 1 Masjid Negeri Kedah, Khairul Firdaus Abu Bakar berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan itu sebagai tanda pematuhan terhadap ketetapan yang diputuskan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) terutama melibatkan mukim yang berada dalam zon hijau, kuning dan jingga di negeri berkenaan.
Menurut beliau, dalam membendung penularan COVID-19, pihak pengurusan masjid juga turut memfokuskan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan sebelum ini iaitu jemaah perlu membawa sejadah masing-masing selain pemakaian pelitup muka dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
"Kami di (pengurusan) Masjid Zahir membuka (peluang) untuk orang awam khususnya ahli khariah yang (mana) kita ada lima zon dan untuk ketetapan (perlu mengikut apa) yang telah dikeluarkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan juga Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (iaitu) melibatkan 100 orang jemaah.
"Alhamdulillah pada pagi ini kita mula solat pada 8.30 pagi (dan) orang ramai (mulai) hadir ke Masjid Zahir bermula pukul 7.45 pagi. Kita mulakan awal pagi ini memandangkan ada di kalangan kita buat ibadah korban pada hari ini," kata Khairul Firdaus kepada Astro AWANI.
Solat sunat Hari Raya Aidiladha yang bermula pukul 8.30 pagi dipimpin oleh Shafie Ibrahim manakala khutbah dibaca sendiri Khairul Firdaus.
Ini merupakan kali kedua Masjid Zahir yang merupakan Masjid Negeri Kedah menerima jemaah bagi solat sunat AidilAdha dalam tempoh pandemik COVID-19.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, JHEAIK membenarkan penduduk di negeri itu menunaikan solat sunat Aidiladha mengikut kapasiti yang ditetapkan.
Bagi mukim yang berada pada status zon hijau, kuning dan jingga, seramai 100 jemaah dibenarkan untuk hadir ke masjid manakala bagi zon merah, hanya 50 jemaah sahaja dibenarkan.
Menurutnya, tiada kebenaran diberikan kepada penduduk yang tinggal di lokaliti yang diisytiharkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.
#solat sunat Aidiladha #hari raya aidiladha #Masjid Zahir #Alor Setar #Kedah #Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah #JHEAIK