BAHAU: Kira- kira 100 murid dari sebuah sekolah di Bahau, Jempol disyaki mengalami keracunan makanan selepas mengalami gejala cirit-birit dan muntah-muntah sejak minggu lepas.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr Roslan Hussin berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada pejabat kesihatan daerah (PKD) berhubung perkara berkenaan.

"Ya memang ada (kes) tetapi ia bukan serentak (berlaku) 100 orang itu, bermula daripada Selasa hingga Jumaat. Murid yang terlibat sudah mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan kini berada di rumah masing- masing.

"Punca sebenar kejadian masih belum diketahui setakat ini, sama ada keracunan makanan ataupun sebab lain. Pejabat kesihatan daerah sedang menjalankan siasatan dan kita masih menunggu keputusan daripada pihak tersebut," katanya ketika di hubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp mengenai kejadian berkenaan membabitkan murid sekolah rendah.

Maklumat tular itu menjelaskan pihak sekolah memandang serius kejadian tersebut, malah beberapa langkah keselamatan telahpun dilakukan dengan pelaksanaan kerja pembersihan di sekitar kawasan sekolah termasuklah tandas dan kantin.

Justeru, ibu bapa diingatkan supaya memantau kesihatan anak-anak masing-masing selain segera mendapatkan rawatan lanjut sekiranya terdapat gejala berkenaan.

Dalam pada itu Roslan berkata, sesi persekolahan di sekolah tersebut berjalan seperti biasa pada Isnin ini dan tiada arahan penutupan sementara.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian