NATIONAL
1,000 notis dikeluar kepada pemilik kenderaan buruk di kuarters Putrajaya
Kuarters apartmen yang terlibat ialah Fasa 5R3 di Presint 5, Fasa 18R2 di Presint 8, Fasa 5 dan 6, Fasa 7 dan Fasa 12 di Presint 9, Zon 6B di Presint 11 dan Fasa 14-7 di Presint 14. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah mengenal pasti 17 kenderaan tersadai dan tidak bergerak di kawasan kuarters dalam operasi penundaan Kenderaan Buruk, Tersadai dan Terbiar (KBT) di tujuh lokasi.
Ringkasan AI
- Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) telah mengenal pasti 17 kenderaan tersadai di kawasan kuarters dalam operasi penundaan Kenderaan Buruk, Tersadai dan Terbiar (KBT) di tujuh lokasi.
- Lebih 1,000 notis dan peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan sejak 2024, namun ketidakpatuhan menyebabkan tindakan tegas diambil melalui operasi ini. Operasi ini melibatkan dua pasukan dengan jentera untuk menarik keluar kenderaan di kawasan parkir terbuka dan basement.
- Operasi ini bertujuan untuk mendidik penghuni kuarters tentang tanggungjawab menjaga kawasan tempat tinggal, mengelakkan perlakuan mementingkan diri sendiri, dan mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat, serta bebas daripada ancaman pembiakan nyamuk aedes dan haiwan liar.
Operasi itu diketuai Timbalan Setiausaha Bahagian BPH Sharez Izuan Md Zaidi dan Pengarah Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) Mohd Fauzi Ismail.
Sharez Izuan berkata kuarters apartmen yang terlibat ialah Fasa 5R3 di Presint 5, Fasa 18R2 di Presint 8, Fasa 5 dan 6, Fasa 7 dan Fasa 12 di Presint 9, Zon 6B di Presint 11 dan Fasa 14-7 di Presint 14.
Beliau berkata sebelum operasi dijalankan, lebih 1,000 notis dan peringatan telah dikeluarkan kepada keseluruhan pemilik KBT yang diketahui sejak 2024, untuk mengarahkan mereka mengeluarkan KBT ke tempat lain.
"Kesalahan kenderaan tersadai ini juga termasuk di dalam penguatkuasaan sistem demerit pada penghuni kuarters," katanya kepada media di operasi KBT di sini hari ini.
Sharez Izuan berkata memandangkan terdapat ketidakpatuhan terhadap notis dan membelakangkan tindakan demerit yang telah dikenakan sebelum ini, tindakan tegas perlu diambil melalui operasi sebegini sebagai pengajaran bahawa kawasan kuarters bukan tempat longgokan KBT.
Beliau berkata petak parkir dalam kawasan kuarters, berkonsepkan terbuka secara guna sama dan dilarang sama sekali menjadikan milik individu kecuali kategori (OKU), yang mendapat kebenaran khas.
Gerak kerja penguatkuasaan itu melibatkan dua pasukan bersama jentera untuk menarik keluar kenderaan di kawasan parking terbuka dan di luar parkir basement di apartment yang dikenal pasti.
Sharez Izuan berkata antara objektif operasi itu ialah mewujudkan kesedaran dan mendidik penghuni kuarters di bawah seliaan BPH tentang tanggungjawab menghargai kawasan tempat tinggal yang selesa dan mengelakkan perlakuan mementingkan diri sendiri seperti membiarkan kenderaan yang tidak digunakan berada di kawasan parkir kuarters dalam tempoh yang lama.
Beliau berkata ia juga bertujuan mewujudkan persekitaran kuarters yang mesra penghuni bagi mengelakkan unsur tidak sihat di kawasan kejiranan dan memupuk gaya hidup yang sihat, ceria, bersih dan selamat daripada ancaman pembiakan nyamuk aedes, haiwan liar dan serangga berbahaya ekoran kenderaan terbiar yang sering berlaku takungan air atau tempat tinggal haiwan.
Sebelum ini, BPH telah mengemukakan 278 senarai kenderaan kepada PPj pada Ogos 2023 melibatkan 55 kenderaan di parkir terbuka dan 223 kenderaan di ruang parkir aras bawah kuarters, namun selepas beberapa amaran termasuk pemberian mata demerit berterusan, pemilik kenderaan masih berdegil.
Semakan mendapati 40 kenderaan masih tersadai dan tidak bergerak di parkir luar (terbuka) sehingga Januari lepas dan kemudian Notis Pemberitahuan operasi tunda kenderaan dikeluarkan 1 Mei lepas.
-- BERNAMA