KUALA LUMPUR: Sejumlah 104 lokasi bencana membabitkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri direkodkan berlaku di sembilan negeri sehingga 10 pagi Isnin.

Dalam muat naik infografik di laman Twitter Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR), jenis kejadian cerun runtuh mencatat jumlah tertinggi dengan 45 lokasi.

Ini diikuti kejadian banjir dengan 39 lokasi manakala jalan runtuh dengan 11 lokasi.

Sementara itu, kejadian banjir kilat dikenal pasti di empat lokasi manakala jambatan rosak serta jalan mendap masing-masing dengan tiga dan dua lokasi.

Daripada jumlah itu, 61 Jalan Negeri terjejas manakala 43 bagi Jalan Persekutuan.

Dalam perkembangan sama, Pahang mencatat negeri dengan jumlah daerah tertinggi yang terjejas.

Ini diikuti Negeri Sembilan, Selangor dan Johor masing-masing dengan lima daerah.